Malaysia kekal dua slot Kejohanan Kelab AFC 2026/27: Satu ke ACL Elite, Satu ke ACL 2

346

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengumumkan pengagihan rasmi slot kelayakan untuk kejohanan kelab Asia bagi musim 2026/27 bagi zon Asia Timur dengan Malaysia mengekalkan dua slot penting, iaitu satu slot automatik ke peringkat kumpulan AFC Champions League Elite (ACLE) dan satu lagi slot automatik ke peringkat kumpulan AFC Champions League Two (ACL 2).

Berdasarkan saingan Liga Super musim 2024/25, dua pasukan gergasi negara iaitu juara liga Johor Darul Ta’zim (JDT) akan beraksi dalam saingan ACLE, manakala Selangor FC pula akan beraksi dalam saingan ACL 2.


Pengumuman ini memperlihatkan konsistensi dan kemampuan kelab-kelab Malaysia dalam mengekalkan prestasi di pentas Asia, meskipun beberapa negara lain mencatatkan perubahan kedudukan dalam sistem hierarki kelab benua itu.

Antara perubahan ketara dalam pengagihan slot musim 2026/27 berbanding musim sebelumnya (2025/26) adalah:

  • Thailand menerima tambahan satu slot automatik ke ACLE, menjadikan jumlah keseluruhan slot mereka kepada empat.
  • China PR kehilangan satu slot automatik ke ACLE.
  • Kemboja dinaikkan taraf ke ACL Two dengan satu slot automatik.
  • Filipina diturunkan ke peringkat kelayakan (play-off) ACL Two.
  • Korea Utara (DPR Korea) jatuh ke kedudukan paling bawah dengan hanya satu slot di AFC Challenge League (ACGL).

Struktur baru kejohanan kelab AFC terdiri daripada tiga peringkat iaitu ACLE adalah kejohanan utama bagi kelab elit benua asia; ACL 2 adalah peringkat kedua dalam sistem pertandingan dan ACGL pula sebagai platform untuk kelab dari negara dengan kedudukan pembangunan bola sepak lebih rendah.

Kekalnya dua slot kelayakan untuk Malaysia ini turut memberi petunjuk positif terhadap tahap profesionalisme liga domestik, terutama dalam aspek pengurusan kelab dan pematuhan lesen AFC.

Kelab-kelab Liga Super kini mempunyai tanggungjawab besar untuk terus meningkatkan prestasi dan mengambil peluang ini bagi mengharumkan nama negara di peringkat Asia.

Pada saingan musim lalu, JDT berjaya mara sehingga ke peringkat pusingan 16 terbaik ACLE, manakala Selangor pula kandas di peringkat kumpulan.

Dengan kedua-dua kelab ini bakal kembali beraksi di pentas Asia pada musim hadapan, pastinya perancangan rapi akan dibuat oleh kedua-dua pasukan bagi memastikan kempen mereka di pentas antarabangsa akan lebih baik berbanding musim lalu.