Kejohanan Tri Nation jadi medan untuk uji mentaliti pemain – Joel Cornelli

70

Pasukan kebangsaan wanita Malaysia, Malayan Tigress, bakal menghadapi cabaran pertama di bawah kendalian jurulatih baharu, Joel Cornelli, dalam Kejohanan Tri Nation antarabangsa di Bhutan. 

Menurut Cornelli, sesi latihan pertama beliau akan menumpukan pada penilaian karakter dan kebolehan setiap pemain dengan menegaskan, masa yang terhad perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. 


“Kami sangat bersemangat untuk memulakan latihan. Kami perlu tunjukkan apa yang diharapkan dalam sesi ini, lalu menterjemahkannya ke prestasi cemerlang dalam perlawanan,”

ujarnya kepada Harimau Malaya.

Cornelli turut menyifatkan peluang untuk mengendalikan skuad wanita negara sebagai Projek tersebut sebagai peluang yang menarik.

“Organisasi dan projek ini sangat baik. Harapan saya adalah untuk terus berkembang, bukan sekadar kekal di tahap sedia ada, malah memperbaiki aspek-aspek lain demi manfaat bersama.”

Beliau turut menekankan pentingnya interaksi langsung dengan pemain berbanding hanya bergantung pada rakaman video. 

Dalam pada itu, Cornelli juga berkata skuad negara ketika ini akan dibarisi oleh gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda.

“Pemain senior boleh membimbing yang muda, sementara semangat dan motivasi pemain muda pula menyuntik tenaga positif. Ini mewujudkan keseimbangan ideal untuk perkembangan pasukan.”

Sementara itu, Cornelli turut berkata untuk Kejohanan Tri Nation nanti beliau akan lebih menekankan aspek penilaian mentaliti pemain dan bukan sekadar mengejar keputusan positif.

“Kami ingin lihat sama ada mereka mampu menangani tekanan dalam perlawanan sebenar. Ini ujian terbaik untuk mengenal pasti siapa yang benar-benar bersedia menghadapi saingan tinggi.

Kami bukan hanya mengejar keputusan positif, tetapi juga membina asas kukuh untuk masa depan. Ini permulaan yang baik.”