Perak FC sah tidak akan sertai Liga A1, tunggu dana MFL untuk selesai hutang

234

Kelab gergasi Perak FC secara rasmi mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan semua operasi berkuat kuasa serta merta sekaligus mengesahkan mereka tidak akan memohon untuk beraksi dalam saingan liga semi-profesional Liga A1 untuk musim hadapan.

Perak sebelum ini masih berpeluang untuk terus beraksi dalam kancah bola sepak tanah air biarpun mereka gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi bermain di Liga Super selepas Amateur Football League (AFL) terbuka untuk memberi ruang dan peluang kepada kelab itu beraksi di Liga A1.


Namun dengan kenyataan media terbaru oleh pengurusan kelab mengesahkan bahawa mereka tidak akan menyertai mana-mana saingan berikutan krisis kewangan yang melanda, di mana kelab tidak lagi memiliki dana mencukupi untuk menerusikan operasi.

Malah dalam kenyataan media tersebut turut menyatakan bahawa kelab kini sedang menunggu dana daripada Malaysian Football League (MFL) bagi menyelesaikan hutang yang tertunggak.

Nasib Perak umpama ‘pisang berbuah dua kali’ kerana mereka pernah gulung tikar beberapa tahun lalu dek masalah kewangan yang parah sebelum pihak XOX tampil menyelamatkan kelab itu dari terus terkubur.

Dengan pemilikan baharu, Perak memulakan perjalanannya tiga tahun lalu dengan aspirasi tinggi untuk membangunkan semula reputasi bola sepak negeri. 

Fokus utama kelab adalah membersihkan hutang RM8 juta yang ditinggalkan oleh pengurusan terdahulu, selain memperuntukkan RM10 juta setiap tahun bagi menguruskan operasi harian, termasuk pembayaran gaji pemain, jurulatih, dan staf pentadbiran.

Namun, setelah melabur lebih RM40 juta dalam tempoh dua setengah musim, Perak mengakui dana mereka telah habis sepenuhnya. 

“Kami amat dukacita memaklumkan bahawa tiada lagi baki dana untuk diperuntukkan. Justeru, kami terpaksa menghentikan semua operasi berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan rasmi kelab.

Sebagai langkah bertanggungjawab, pihak kelab telah menghantar pulang pemain import dan berusaha membayar sebahagian gaji staf serta pemain dengan baki dana yang tinggal. 

Semua ahli kelab, termasuk jurulatih dan pemain, telah dimaklumkan bahawa mereka bebas mencari peluang baharu di kelab lain.

Perak turut menyampaikan penghargaan mendalam kepada para penyokong setia, terutama kumpulan “Yob & Yong”, yang disebut sebagai “sokongan tanpa belah bahagi” sepanjang kelab bergelut dengan cabaran.

Bagi mengurangkan beban kewangan, kelab sedang menguruskan penjualan peralatan latihan dan baki merchandise.

Keputusan menutup operasi ini menandai tamatnya satu babak buat bola sepak negeri Perak, sekaligus mencetuskan persoalan tentang masa depan kelab-kelab lain yang bergelut dengan isu kewangan kronik.