SRG-OG terus gah di MPL MY S15: Simon Lim puas hati, sasar pertahan kejuaraan EWC

72

Selangor Red Giants OG (SRG-OG) berjaya mengekalkan dominasi mereka dalam Mobile Legends: Professional League Malaysia (MPL MY) musim 15 selepas menewaskan Team Rey 2-0 pada perlawanan minggu keenam di Stadium Juara, Mont Kiara. 

Kemenangan ini sekaligus mengesahkan kelayakan SRG-OG ke fasa playoff di mana Ketua e-sukan SRG-OG iaitu Simon Lim menyatakan kepuasannya terhadap prestasi pasukan.


“Bagi saya, SRG menunjukkan peningkatan ketara berbanding M6 (Musim 6). Dari segi prestasi dan konsistensi, kami jauh lebih kuat. Walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki, saya yakin kami berada di landasan tepat untuk mengejar gelaran,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Saingan MPL MY musim ke-15 kali ini menyaksikan format baharu diperkenalkan iaitu format ‘playoff’ dua fasa (Phase 1 dan Phase 2).

Menurut Simon, walaupun pasukannya lebih selesa bermain ‘playoff’ secara berterusan, tetapi beliau tetap optimis dengan perubahan tersebut.

“Jika ikutkan, kami lebih selesa jika playoff berlangsung secara berterusan. Namun, kami menghormati keputusan penganjur. Phase 1 akan jadi peluang untuk uji strategi. Jika ada masalah, kami masih ada masa dua minggu sebelum Phase 2 untuk memperbaiki kesilapan.”

Dalam pada itu, Simon turut mendedahkan bahawa SRG-OG juga bakal melancarkan lagu tema baharu sebagai suntikan semangat menjelang ‘playoff’.

“Lagu ini akan menampilkan penyanyi yang sudah lama hilang dari scene. Dia akan ‘comeback’ dalam music video (MV) ini. Saya tak boleh dedahkan siapa… Tonton saja nanti!”

Sementara itu, selain saingan domestik Simon turut menegaskan bahawa misi SRG-OG tidak terhenti di situ sahaja sebaliknya mereka mahu mempertahankan kejuaraan Esports World Cup (EWC).

“Kami nak pertahankan gelaran EWC. Itu komitmen kami kepada fans dan negeri Selangor.”