Lamine Yamal kini bernilai 1 bilion Euro
Gergasi La Liga, Barcelona secara rasmi mengumumkan bahawa pemain muda sensasi mereka, Lamine Yamal, telah menandatangani kontrak baharu bersama kelab sehingga 2031.
Kontrak ini akan berkuat kuasa pada hari ulang tahunnya yang ke-18, iaitu 13 Julai 2025, memandangkan peraturan hanya membenarkan kontrak jangka panjang ditandatangani selepas mencapai usia tersebut.
Kontrak baharu Yamal menjadikannya antara pemain dengan bayaran tertinggi di kelab, setanding dengan Robert Lewandowski dan Frenkie de Jong.
Gaji tahunannya meningkat daripada €1.5 juta kepada €26 juta, menunjukkan peranannya sebagai tonggak utama pasukan.
Selain itu, klausa pelepasannya yang sedia ada sebanyak €1 bilion mungkin akan dinaikkan lagi untuk menghalang niat kelab-kelab lain untuk ‘memancing’ bintang muda Sepanyol itu.
Yamal, yang masih berusia 17 tahun, telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang musim 2024/25, menjaringkan 18 gol dan mencipta 25 bantuan gol dalam 55 perlawanan.
Sumbangannya yang luar biasa telah membantu Barcelona meraih kejuaraan La Liga dan Copa del Rey dan Supercopa de Espana.
Sebagai pengiktirafan terhadap prestasinya, beliau telah dianugerahkan trofi Kopa serta Golden Boy, dan kini disebut-sebut sebagai antara calon utama untuk memenangi Ballon d’Or tahun ini.
Yamal, produk akademi La Masia, telah menyatakan hasratnya untuk terus bersama Barcelona dalam jangka masa panjang.
Beliau menegaskan komitmennya terhadap kelab dan tidak berminat untuk mendengar tawaran daripada kelab lain.