Arsenal hampir muktamadkan kontrak baharu Gabriel

92

Arsenal dilaporkan semakin hampir memuktamadkan kontrak baharu bersama pertahanan utama mereka, Gabriel Magalhaes, dalam usaha mengekalkan tonggak utama pasukan menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris.

Dipetik dari BBC, pemain berusia 27 tahun itu kini masih terikat dengan kontrak hingga tahun 2027, namun The Gunners telah memulakan rundingan lanjutan bagi memastikan masa depan jangka panjang pemain antarabangsa Brazil itu terus kekal di Emirates Stadium. 


Difahamkan, rundingan antara kedua-dua pihak telah mencapai peringkat akhir dan persetujuan hampir dicapai dalam masa terdekat.

Gabriel telah menjadi watak penting dalam benteng pertahanan Arsenal sejak dibimbing oleh Mikel Arteta. 

Musim ini, beliau berjaya menyumbang lima gol dalam semua kejohanan sebelum musimnya terpaksa ditamatkan lebih awal akibat kecederaan hamstring pada April.

Walaupun mengalami kecederaan, laporan terkini menyebut bahawa Gabriel dijangka akan kembali cergas sepenuhnya menjelang sepak mula musim baharu. 

Dalam pada itu, perkembangan ini tentunya memberi kelegaan besar kepada barisan kejurulatihan Arsenal yang sedang merancang strategi pasukan bagi menghadapi musim yang dijangka lebih mencabar.

Kontrak lanjutan Gabriel juga dilihat sebagai langkah awal penting dalam perancangan perpindahan musim panas Arsenal, di mana beberapa pemain baharu dijangka akan dibawa masuk untuk memperkuatkan skuad yang kini sedang memburu kejuaraan selepas beberapa musim hampir mencapainya.

Sementara itu, dengan Gabriel semakin hampir kekal, Arsenal boleh melangkah ke musim baharu dengan lebih yakin bukan sahaja dari segi kestabilan pertahanan, tetapi juga dari sudut kesinambungan dan keserasian pasukan secara keseluruhan.