Ángel Di Maria kembali ke Rosario Central

51

Selepas 19 tahun berkelana di Eropah, Ángel Di Maria akhirnya kembali ke kelab yang membesarkannya, Rosario Central. 

Dipetik dari BBC, kepulangan ini diumumkan secara rasmi oleh kelab Argentina itu pada Khamis dengan mesej menyentuh hati: “Sejarah kita masih belum tamat. Selamat pulang.”


Pemain berusia 37 tahun itu memulakan karier profesionalnya bersama Rosario Central pada 2005 sebelum berhijrah ke Benfica dan seterusnya ke kelab-kelab gergasi Eropah seperti Real Madrid, Manchester United, Paris Saint-Germain dan Juventus. 

Sepanjang kariernya, Di Maria telah menjulang 30 trofi, termasuk UEFA Champions League, kejuaraan liga di tiga negara dan Piala Dunia 2022 bersama Argentina.

Namun, kepulangannya ke Rosario hampir tidak berlaku kerana pada tahun lalu, beliau terpaksa membatalkan niatnya selepas menerima ancaman bunuh. 

“Ada satu kotak dihantar ke perniagaan kakak saya — berisi kepala babi dan peluru dengan nota mengugut anak saya Pia jika saya kembali ke Central,” dedah Di Maria. 

Ancaman itu menyebabkan keluarganya hidup dalam ketakutan dan hasratnya terpaksa ditangguh.

Kini, dengan keadaan yang lebih stabil, impiannya untuk kembali menyarung jersi Rosario Central akhirnya tercapai. 

Beliau akan meninggalkan Benfica selepas kempen Piala Dunia Kelab bulan depan dan bersedia menyarung jersi merah-biru buat kali terakhir.

Kepulangan Di Maria bukan sekadar simbolik, tetapi lambang kasih yang tidak pernah padam terhadap kelab asalnya. 

Ia juga menjadi inspirasi buat anak-anak muda bahawa kejayaan di pentas antarabangsa tidak pernah melupakan asal-usul perjuangan.