Pelaburan pasukan pacu persaingan sengit & sasaran antarabangsa – Fikry Rizal

77

Malaysia Esports Lead di MOONTON Games, Fikri Rizal Mahruddin memberitahu peningkatan pelaburan oleh pemilik pasukan ke dalam ekosistem Mobile Legends: Bang Bang Professional League Malaysia (MPLMY) dilihat sebagai pemacu utama persaingan sengit musim ini, khususnya untuk mencabar dominasi juara bertahan, Selangor Red Giants-OG Esports (SRG-OG).

Menurut Fikri, trend signifikan musim ini menyaksikan hanya SRG-OG yang mengekalkan keseluruhan barisan pemain (lineup) mereka secara konsisten sejak musim 13.


“Alhamdulillah, musim ini kita lihat pelaburan besar daripada pemilik pasukan dan organisasi. Daripada empat pasukan yang mara ke peringkat ini – SRG-OG, DX Soul, Homebois dan Aero Esports – hanya SRG-OG kekalkan barisan pemain yang sama sejak Musim 13 hingga kini. 

Tiga pasukan lain buat rombakan besar, termasuk Homebois yang tampil dengan barisan baharu sepenuhnya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Fikri lagi, perubahan drastik ini menjadi bukti komitmen tinggi pemilik pasukan yang banyak melabur dalam pasukan untuk kembangkan lagi MPL MY sekaligus memberi persaingan sengit kepada SRG-OG.

Dalam pada itu, Fikri mendedahkan perbezaan utama antara ekosistem esports MLBB/MPL MY dan sukan konvensional seperti bola sepak adalah peluang jelas untuk bersinar di pentas global.

“Bagi saya apa bezanya adalah peluang yang kita berikan kepada pemain-pemain dan juga pasukan-pasukan untuk serlahkan diri mereka di peringkat antarabangsa.” 

Beliau mengingatkan bahawa MPL MY merupakan laluan langsung ke kejohanan antarabangsa berprestij seperti MSC (Mobile Legends: Bang Bang Mid Season Cup), di mana dua pasukan teratas Malaysia akan mewakili negara sekaligus menjadi pendorong dan motivasi kritikal 

“Mungkin itu sedikit sebanyak bagi dorongan dan bagi motivasi kepada pemilik-pemilik pasukan ni untuk labur lebih dalam ekosistem ni.”

Fikri turut mengaitkan peningkatan pelaburan ini dengan sokongan padu peminat esports tempatan.

“Daripada segi peminat juga bila kita dah labur dan peminat pun akan sokong, akan tengok kan jadi akan ada pulangan pelaburan (ROI) untuk pasukan-pasukan tu lah.”

Sementara itu, Fikri berharap agar semua pihak meneruskan momentum positif ini demi prestasi Malaysia di kejohanan global.