Simone Inzaghi tinggalkan Inter Milan secara persetujuan bersama

75

Simone Inzaghi mengakhiri tugasnya sebagai pengurus Inter Milan selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama untuk berpisah, hanya tiga hari selepas kekalahan 5-0 kepada Paris Saint-Germain dalam final UEFA Champions League. 

Dipetik dari BBC, perpisahan ini sekaligus menamatkan era empat tahun Inzaghi bersama kelab gergasi Serie A itu.


Bekas pengurus Lazio itu menyertai Inter pada tahun 2021 dan berjaya merangkul enam trofi sepanjang tempoh perkhidmatannya, termasuk satu kejuaraan Serie A, dua Coppa Italia dan tiga Supercoppa Italiana. 

Beliau juga membawa Inter ke dua perlawanan akhir Champions League, namun gagal meraih gelaran selepas tewas kepada Manchester City dan PSG.

“Inilah masanya untuk saya ucapkan selamat tinggal. Saya telah memberikan segala-galanya untuk kelab ini,” kata Inzaghi yang turut menyampaikan penghargaan kepada jutaan penyokong Nerazzurri yang setia menyokongnya sepanjang tempoh kepimpinannya.

Presiden Inter, Giuseppe Marotta, turut menyatakan penghargaan terhadap komitmen dan kejujuran Inzaghi dalam proses perpisahan ini, yang digambarkan sebagai perbincangan terbuka hasil kerjasama erat selama ini.

Inzaghi kini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Saudi Pro League, Al-Hilal, yang turut akan beraksi dalam Piala Dunia Kelab FIFA 2025 di Amerika Syarikat, sama seperti Inter.

Kehilangan Inzaghi hadir di saat genting ketika Inter sedang bersiap sedia menghadapi kejohanan dunia yang penting dan musim baharu Serie A.