Dari puncak Thailand ke tanah Sakura: Dion Cools korbankan ACLE demi cabaran baharu di J.League
Bintang pertahanan kebangsaan Malaysia, Dion Cools telah mengambil keputusan yang cukup berani apabila mengorbankan peluang bermain di pentas tertinggi Asia selepas beliau secara rasmi akan meninggalkan Buriram United, juara Thailand yang mendominasi musim lalu, untuk menyertai Cerezo Osaka dalam saingan J.League Jepun musim depan, sekaligus menjadi pemain Malaysia pertama yang menjejakkan kaki di liga elit Asia Timur itu.
Perpindahan pemain berusia 28 tahun itu datang selepas beliau mengharungi musim yang cukup gemilang dalam kariernya bersama Buriram United.
Untuk saingan musim 2024/25 menyaksikan beliau menjadi tunjang penting dalam barisan pertahanan kelab gergasi Thailand itu, membantu mereka meraih kejayaan empat kali ganda (quadruple) yang bersejarah iaitu Thai League 1, Thai FA Cup, Thai League Cup dan ASEAN Club Championship.
Statistik peribadinya juga mengkagumkan iaitu beliau beraksi dalam 53 perlawanan merentasi lima kejohanan domestik dan antarabangsa, termasuk berjaya menjaringkan lima gol dan 10 bantuan gol menjadi angka yang luar biasa untuk seorang pertahanan.
Prestasi cemerlang yang dipamerkan Cools mengukuhkan statusnya sebagai salah satu pemain asing terbaik di Thailand.
Namun, kejayaan gemilang di Buriram datang dengan bayaran di mana keputusan Cools menyertai Cerezo Osaka bermakna beliau terpaksa melepaskan peluang bermain dalam AFC Champions League Elite (ACLE) musim hadapan selepas Buriram, selaku juara Thailand, layak secara automatik ke kejohanan kelab elit Asia itu.
Ini kerana Cerezo Osaka, walaupun merupakan kelab berpengaruh di Jepun dan pernah melahirkan bintang seperti Shinji Kagawa, sedang bergelut dalam saingan J.League musim ini.
Selepas 20 perlawanan, mereka ketika ini menduduki tangga kelapan liga (8 kemenangan, 5 seri, 7 kekalahan), menjadikan peluang mereka untuk layak ke ACLE musim depan sangat tipis.
Bagaimanapun, bagi Cools penghijrahan beliau ke J. League adalah ‘peluang keemasan’ yang tidak boleh dilepaskan, walaupun bermakna mengorbankan ACLE.
Pastinya Cools menyifatkan penghijrahannya ke Cerezo Osaka sebagai satu langkah penting dalam kariernya yang mana peluang beraksi di J.League adalah sesuatu yang sukar untuk ditolak, kerana ia membolehkan dirinya terus mencabar kemampuan di peringkat lebih tinggi, selain membawa pulang pengalaman berharga demi memperkukuh skuad kebangsaan Malaysia.
Perpindahan ini dilihat selaras dengan matlamat jangka panjang Cools kerana J.League terkenal dengan disiplin taktikal yang tinggi, intensiti permainan yang laju, dan persekitaran yang sangat profesional.
Dengan bermain di sana, Cools dijangka dapat meningkatkan lagi kualiti permainannya secara signifikan dan memberi pendedahan kepada standard bola sepak yang berbeza.
Sementara itu, langkah bersejarah Cools ini juga membawa makna yang besar untuk bola sepak Malaysia apabila berjaya menembusi salah satu liga terbaik dan paling kompetitif di Asia ini berpotensi membuka lebih banyak peluang untuk pemain Malaysia lain di masa hadapan.
Ia menjadi bukti bahawa pemain Malaysia mampu bersaing dan diterima di liga utama benua Asia.
Dari puncak kejayaan di Thailand, Cools kini bersedia untuk mendaki gunung baharu di tanah Jepun.
Pengorbanannya meninggalkan ACLE bersama Buriram adalah satu pertaruhan berani demi impian yang lebih besar iaitu untuk menguji dirinya di medan lebih sengit dan membawa pulang ilmu yang tidak ternilai untuk Harimau Malaya.