Irazabal puji persembahan pasukan dan sokongan luar biasa penyokong di Bukit Jalil

159

Pertahanan Harimau Malaya, Jon Irazabal, meluahkan rasa bangganya dapat membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan dengan penuh bergaya apabila membantu Malaysia mencatat kemenangan meyakinkan 4-0 ke atas Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027.

Irazabal menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hasil kerja berpasukan yang cemerlang, khususnya apabila Malaysia berjaya memanfaatkan peluang pada separuh masa kedua.


“Ia satu perlawanan yang sangat baik, terutamanya pada separuh masa pertama kerana Vietnam bermain dengan baik dari segi fizikal ketika itu. Tapi pada separuh masa kedua, kami bermain lebih baik, kami lebih bertenaga dan ambil kesempatan apabila mereka mula menurun dari segi kecergasan,” 

katanya.

Tambahnya lagi, barisan pemain serangan negara mempamerkan aksi yang mengagumkan, sekali gus menyuntik semangat juang tinggi kepada keseluruhan pasukan.

Dalam pada itu, Irazabal berkata apa yang menjadikan perlawanan lebih manis lagi adalah sokongan padu puluhan ribu penyokong Harimau Malaya yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

“Saya sangat gembira hari ini kerana semua penyokong kami berada di stadium. Stadium hampir penuh dan itulah tahap sokongan yang semua pemain impikan.”

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai cabaran bermain dalam cuaca panas dan lembap Malaysia, pemain kelahiran Sepanyol itu mengakui ia bukan tugas mudah, namun komitmen pasukan sepanjang sesi latihan membantu mereka menyesuaikan diri secara berperingkat.

“Ia agak sukar kerana sangat lembap dan agak panas hari ini. Tapi kami menyesuaikan diri dari hari ke hari. Saya rasa kami telah melakukan kerja yang luar biasa untuk mencapai tahap kecergasan ini. Dengan sokongan penyokong kami, semuanya jadi lebih mudah.”

Susulan kemenangan besar itu, Harimau Malaya kini selangkah menghampiri pentas Piala Asia 2027, dan penampilan Irazabal yang meyakinkan pastinya memberi tambahan kekuatan kepada benteng pertahanan negara untuk cabaran seterusnya.