Jobe Bellingham sah sertai Borussia Dortmund dengan yuran £27 juta
Pemain muda sensasi England, Jobe Bellingham, sah menyertai kelab gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund dari Sunderland menerusi kontrak lima tahun sehingga Jun 2030.
Dipetik dari BBC, perpindahan ini dilaporkan melibatkan yuran perpindahan sekitar €32 juta (kira-kira £27 juta), menjadikannya rekod tertinggi dalam sejarah Sunderland, dengan tambahan €5 juta lagi dalam bentuk insentif.
Bellingham, 19, memainkan peranan penting dalam kempen promosi Sunderland ke Premier League musim lalu, selepas membuat 90 penampilan sejak menyertai kelab itu pada 2023.
Beliau juga telah dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik Liga Kejuaraan EFL bagi musim tersebut.
Dalam kenyataan perpisahan yang penuh emosi, Bellingham menzahirkan penghargaan kepada para penyokong Sunderland yang disifatkannya sebagai tonggak kejayaan dirinya.
“Saya akan sentiasa membawa semangat Wearside dalam setiap langkah kerjaya saya. Anda telah membantu membentuk saya menjadi pemain yang saya jadi hari ini,” ujarnya.
Bellingham akan terus mewakili Dortmund dalam Piala Dunia Kelab yang akan berlangsung di Amerika Syarikat bermula 17 Jun ini, dengan perlawanan pertama menentang Fluminense dari Brazil.
Walaupun telah disenaraikan ke dalam skuad England Bawah 21 Tahun untuk Kejuaraan Eropah di Slovakia, beliau dibenarkan menyertai kejohanan kelab itu oleh ketua jurulatih, Lee Carsley.
Perpindahan ini menyaksikan Jobe mengikuti jejak abangnya, Jude Bellingham, yang turut memulakan karier di Birmingham City sebelum mencipta nama bersama Dortmund dan kini bersama Real Madrid.
Dengan reputasi Dortmund sebagai lubuk pembangunan bakat muda, peminat bola sepak pastinya menantikan perkembangan Jobe dalam saingan bola sepak elit Eropah.