Rayan Cherki lengkap perpindahan ke Manchester City bernilai £30 juta
Manchester City telah melengkapkan perpindahan pemain tengah menyerang Lyon, Rayan Cherki dengan nilai £30.45 juta.
Dipetik dari BBC, pemain berusia 21 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun sehingga 2030 dan bersedia beraksi dalam Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat bermula 14 Jun ini.
Cherki, yang telah membuat hampir 200 penampilan bersama Lyon sejak debut pada usia 16 tahun, berkata perpindahan ini adalah impian yang menjadi kenyataan.
“Untuk menyertai kelab seperti Manchester City adalah sesuatu yang sangat istimewa. Saya tidak sabar untuk berkembang di bawah bimbingan Pep Guardiola dan pasukannya,” katanya.
Sepanjang bersama Lyon, Cherki telah menjaringkan 29 gol dan mencatat 45 bantuan jaringan.
Beliau juga telah mewakili skuad kebangsaan Perancis, termasuk membantu pasukan memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Paris dan tampil dalam separuh akhir UEFA Nations League baru-baru ini menentang Sepanyol.
Cherki menjadi pemain ketiga menyertai City dalam tempoh dua hari selepas ketibaan Rayan Ait-Nouri dari Wolves dan penjaga gol Marcus Bettinelli dari Chelsea.
Menurut Cherki, dia hanya akan meninggalkan Lyon untuk projek yang diyakini boleh membantu mengembangkan kariernya.
“Dengan City, saya yakin saya boleh membantu pasukan mencapai kejayaan dan pada masa sama terus mempertingkatkan prestasi saya,” ujarnya.
Pengarah bola sepak City, Hugo Viana turut melahirkan keyakinan bahawa Cherki akan berkembang menjadi pemain kelas dunia di bawah kendalian Guardiola.
“Dia kini berada di tempat terbaik untuk mencapai potensi sebenar.”