Malayan Tigress B-19 sedia bangkit, sasarkan ke separuh akhir

115

Selepas kekalahan kepada Thailand, skuad Bawah 19 tahun wanita negara, Malayan Tigress B-19, kini kembali fokus dan bersedia untuk beraksi habis-habisan menentang Indonesia dalam aksi penentuan nasib ke separuh akhir.

Ketua jurulatih, Cameron Ng, menaruh keyakinan penuh terhadap anak buahnya dan percaya mereka akan bangkit dengan semangat juang tinggi.


“Ekspektasi saya untuk esok adalah satu persembahan yang baik. Saya pasti pemain akan memberi 100% dan bermain sebaik mungkin. Itu yang saya, saya yakin dengan pemain saya,”

ujarnya.

Cameron turut menekankan betapa pentingnya kemenangan dalam pertembungan menentang Indonesia pada Jumaat ini. 

“Kalau kita menang, kita akan layak ke separuh akhir. Jadi masa depan, masa depan akan berlaku dalam tangan kita. Pemain hari ini sudah tentu selepas kekalahan berasa ‘down’ sikit. Tetapi mereka bersedia untuk perlawanan esok.”

Dalam pada itu, Cameron juga berkata perlawanan esok akan berintensiti tinggi yang mana beliau sifatkan sebagai penting untuk pembangunan bola sepak wanita negara.

“Jadi saya rasa untuk pembangunan bola sepak wanita Malaysia, ada perlawanan-perlawanan macam ini yang akan menolong membangunkan atau menambahbaikkan pemain kerana mereka perlu bermain dalam keadaan ‘pressure’ sedikit, mereka faham atau mereka sedar yang kalau mereka menang, mereka akan layak. 

Jadi tekanan itu akan datang. So untuk player itu untuk develop dan grow sebagai seorang pemain, dia perlu menghadapi cabaran-cabaran macam ini.”

Beliau juga menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan pasukannya untuk bangkit.

Sementara itu, pemain sayap lincah, Hallyviana Joseph, turut menyuarakan semangat untuk bangkit setelah kekalahan tempoh hari.

“Lepas lawan Thailand, kami ada semangat untuk lawan Indonesia. Harapan saya ialah menang dan masuk final. Apa yang kami kalah, kami mau tebus.”

Beliau turut menyeru seluruh penyokong tanah air untuk terus memberikan semangat buat pasukan.

“Jangan pernah menyerah walaupun kalah. Kita bawa nama Malaysia. Terima kasih kepada semua peminat, tolong terus beri kami sokongan!”

Aksi menentang Indonesia bakal menjadi penentu buat Malayan Tigress B-19, sama ada impian mara ke separuh akhir menjadi kenyataan atau berakhir di peringkat kumpulan.