De Bruyne sertai Napoli, tamatkan era cemerlang bersama Manchester City

72

Pemain tengah berpengaruh Belgium, Kevin De Bruyne, kini sah menyertai kelab Serie A, Napoli selepas menamatkan perkhidmatan selama satu dekad yang penuh gemilang bersama Manchester City. 

Dipetik dari BBC, pemain berusia 33 tahun itu melengkapkan perpindahan secara percuma dan akan beraksi di bawah kendalian Antonio Conte, bekas pengurus Chelsea dan Tottenham yang kini membimbing juara Itali tersebut.


Perpindahan ini sekaligus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya, selepas beliau menolak tawaran lumayan dari kelab Major League Soccer (MLS), Chicago Fire. 

Keputusan untuk memilih Napoli membolehkan De Bruyne terus bersaing di UEFA Champions League musim hadapan, menyambung kariernya di peringkat tertinggi bola sepak Eropah.

Napoli mengumumkan ketibaan De Bruyne dengan penuh bergaya melalui imej janaan komputer (CGI), memaparkan beliau duduk di atas takhta sambil memakai mahkota, disertakan kapsyen: “King Kev is here.”

Sejak menyertai Manchester City dari Wolfsburg pada tahun 2015, De Bruyne memainkan peranan utama dalam kebangkitan City sebagai kuasa besar bola sepak England dan Eropah. 

Sepanjang 10 tahun, beliau membantu kelab meraih 19 trofi termasuk enam kejuaraan Premier League, lima League Cup, dua FA Cup dan kemuncaknya trofi Champions League pada 2023 — yang melengkapkan kejuaraan treble bersejarah.

Dalam ucapan perpisahan emosinya di Etihad, De Bruyne berkata: “Ia satu perjalanan luar biasa. Manchester telah menjadi rumah saya dan keluarga. Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada sejarah kelab ini.”

Bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan, City telah menandatangani Tijjani Reijnders dari AC Milan dan Rayan Cherki dari Lyon.