Tiada imbuhan, hanya keikhlasan – Shahidan mahu terus berbakti pada olahraga negara
Kepimpinan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sedang menjadi perhatian ketika ini dengan pemilihan Presiden baharu yang mencabar di mana ia akan menyaksikan persaingan empat penjuru melibatkan Karim Ibrahim, Mark Ling, dan Wan Hisham Wan Salleh, nasib sukan teras negara ini dipertaruhkan.
Keputusan ini amat kritikal, bukan sahaja kerana status olahraga sebagai sukan teras Malaysia, tetapi juga kerana potensi besar untuk kejayaan di Sukan SEA 2025 di Thailand.
Dalam medan calon yang kompetitif, Datuk Seri Shahidan Kassim menonjol sebagai individu paling layak untuk meneruskan tugasnya, didorong oleh semangat berbakti tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.
Membawa bersama lebih dua dekad pengalaman dalam dunia olahraga dan pentas politik, Shahidan memiliki asas kukuh.
Pengalaman ini bukan sekadar tempoh masa, tetapi merangkumi pemahaman mendalam tentang selok-belok teknikal sukan, keperluan atlet, dan kompleksiti pengurusan organisasi sukan berskala besar.
Dibawah kepimpinan Shahidan, fokus utama beliau adalah kepada kebajikan atlet-atlet negara dan telah membuktikan komitmen ini bukan sekadar retorik kerana ketika timbul isu atlet mogok, beliau telah tampil ke depan menyelesaikannya sekaligus menunjukkan keutamaan kebajikan atlet bukanlah perkara kosong.
Strategi kompetitifnya juga disusun rapi di mana beliau menyasarkan kejayaan bukan sahaja di Sukan SEA 2025, tetapi juga di pentas Olimpik dan melalui inisiatif seperti Olahraga Super Series.
Kejayaan Super Series, yang memberi platform dan insentif kewangan kepada atlet tempatan untuk bertanding secara kerap di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, adalah bukti nyata pendekatannya yang berpusatkan atlet.
“Tahun ini kita tengah berbincang dengan pihak penaja. Kita akan teruskan pertandingan di peringkat kebangsaan dan juga beberapa pertandingan di peringkat antarabangsa,”
katanya.
Antara pencapaian utama dalam kepimpinan Shahidan ialah keupayaannya menarik penajaan berskala besar.
Kejayaan memperoleh sumbangan RM5 juta daripada Cahaya Mata Sarawak (CMS) bagi tujuan pembangunan atlet selama tiga tahun membuktikan kecekapan strategiknya dalam memastikan sumber kewangan yang kukuh demi kemajuan jangka panjang sukan olahraga negara.
Dalam pada itu, Shahidan turut menegaskan bahawa kepimpinan dalam sukan tidak seharusnya bersifat peribadi atau autokratik, sebaliknya beliau percaya kepada budaya kepimpinan yang inklusif dan kolaboratif, dengan fokus kepada pembinaan pasukan yang kukuh demi kemajuan berterusan olahraga negara.
“Semua orang diberi hak dan kebebasan. Semua sub-komiti saya diberi hak dan kebebasan bertindak. Kepimpinan tidak boleh bersifat peribadi, perlu membina pasukan kukuh untuk kemajuan olahraga dan sedia memberi ruang kepada sesiapa yang layak bersaing.”
Dengan pengalaman luas sebagai bekas Menteri Besar Perlis dan pemegang beberapa portfolio kementerian membuktikan keupayaannya mengurus organisasi berskala besar serta menyelaras strategi yang kompleks.
Rekod kepimpinan yang stabil ini menjadi asas keyakinan bahawa beliau mampu menerajui KOM dengan berkesan dalam menghadapi pelbagai cabaran strategik akan datang.
Di sebalik kelayakan dan rekod cemerlangnya, Shahidan menzahirkan satu motivasi yang tulus dan mendalam, berbakti kepada negara tanpa mengharapkan ganjaran.
Dalam dunia sukan yang penuh tekanan dan penilaian pantas, beliau mengakui cabaran realiti:
“Kalau bilangan emas tak cukup, persatuan dan presiden yang dikritik. Tapi kalau banyak pingat emas, orang lain yang ditemu bual. Kami tak ke depan.”
Namun baginya, kepuasan sebenar bukan pada pujian atau bayaran, sebaliknya pada sumbangan yang mampu diberi kepada tanah air.
“Kepuasan kami adalah dapat menyumbang kepada negara. Itu yang paling penting.”
Komitmen inilah yang mendorong Shahidan mempertahankan jawatan Presiden KOM.
“Saya rasa sumbangan saya kepada negara belum cukup. Saya nak beri lebih lagi. Ini kerja sukarelawan—bukan untuk gaji, tapi untuk negara.”
Tambahnya lagi, jawatan bukan sekadar simbol kuasa, tetapi satu amanah yang perlu diterjemah dalam bentuk pencapaian nyata.
“Kalau saya tak mampu bawa kemajuan, buat apa saya jadi presiden? Saya hanya mahu terus memperbaiki dan mencapai matlamat lebih baik. Saya akan umumkan rancangan lanjut selepas pemilihan, dengan izin dan doa kawan-kawan wartawan.”
Shahidan turut menegaskan komitmennya terhadap akauntabiliti, dengan menyatakan bahawa setiap amanah mesti disertai dengan penilaian jujur terhadap pencapaian:
“Jika matlamat tidak tercapai, saya sendiri akan mempersoalkan kewajaran saya memegang jawatan ini.”
Sementara itu, Shahidan bukan sekadar menawarkan kepimpinan tetapi beliau membawa satu komitmen jangka panjang yang bersandarkan pengalaman, visi strategik dan semangat patriotik yang tidak ternilai.
Di saat olahraga negara memerlukan nahkoda yang bukan sahaja faham selok-belok pengurusan sukan, malah sanggup berkorban demi kepentingan atlet dan tanah air, Shahidan tampil sebagai calon yang bukan sekadar layak, tetapi amat diperlukan.
Dengan asas kukuh yang telah dibina dan matlamat jelas menuju Sukan SEA 2025, beliau dilihat mampu mengangkat KOM ke tahap lebih tinggi, menyemarakkan semula semangat kesukanan negara dan menyatukan seluruh ekosistem olahraga ke arah satu misi nasional: menjulang nama Malaysia di pentas antarabangsa.