Adakah ada tempat untuk “Made in Malaysia” lagi?

1,460

Keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menambahkan kuota pemain import daripada 3+1 kepada 5+1 dalam pertandingan kelab peringkat Asia bermula pada musim 2023/2024 merupakan satu langkah yang dikhuatiri akan memberi kesan kepada pemain-pemain bola sepak tempatan.

Misalnya kelab-kelab tempatan yang layak untuk bertanding dalam kejohanan peringkat Asia seperti AFC Champions League (ACL) dan Piala AFC dijangka akan menggunakan sepenuhnya kuota yang diberikan untuk bersaing dengan kelab-kelab terbaik di Asia.


Situasi ini sedikit sebanyak akan menyebabkan peluang pemain-pemain tempatan untuk beraksi di peringkat antarabangsa akan sedikit terjejas. Sebagai contoh jika kelab menurunkan kesemua pemain import yang telah ditandatangani, maka di mana peluang untuk pemain tempatan beraksi?

Posisi-posisi penting seperti pertahanan tengah dan penyerang sudah pasti akan diisi oleh pemain import. Tidak hairanlah mengapa pasukan kebangsaan amat ketandusan pemain-pemain yang berkualiti terutamanya di posisi-posisi ini.

Jika enam pemain import mengisi kesebelasan utama, kekosongan yang masih belum terisi cuma empat selepas ditolak penjaga gol. Jadi, peluang untuk pemain-pemain lain merebut kesebelasan utama dilihat sukar.

Kesannya adalah kepada skuad kebangsaan. Bagaimana mahu membentuk skuad berkualiti jika pemain-pemain tidak mendapat minit permainan yang cukup?

Itu belum dinilai daripada tahap kecergasan pemain ketika kejohanan berlangsung. Isu pemain yang tidak cukup cergas dan sering dilanda kecederaan ketika beraksi merupakan kesan buruk akibat daripada tidak mendapat minit permainan yang cukup di peringkat kelab.

Selain itu, penambahan kuota ini juga akan menguntungkan pasukan yang mempunyai kantung kewangan yang besar. Mereka mampu untuk memenuhi kuota yang telah ditetapkan dengan mencari pemain-pemain berkualiti yang sudah pasti bernilai tinggi.

Untuk pasukan-pasukan yang tidak mempunyai sumber kewangan yang besar. Mereka seolah-olah berada dalam dilema jika ingin mendapatkan pemain-pemain import yang sudah pasti mahal harganya. Jika tidak mendapatkan pemain import mengikut kuota yang telah ditetapkan, mereka mungkin berdepan masalah untuk bersaing dengan kelab lain di peringkat Asia.

Umum mengetahui isu lapuk yang seringkali menghantui kelab-kelab di Liga Malaysia. Jika pasukan-pasukan ini berbelanja besar tanpa ada sebarang perancangan yang teliti, dikhuatiri mereka akan terjebak dengan masalah bebanan hutang yang berlebihan.

Bukan sekali dua kelab-kelab berhadapan dengan kerugian terutamanya apabila mendapatkan pemain-pemain import ini. Kualitinya tidak jauh beza dengan pemain tempatan, tetap gaji bulanannya cukup tinggi sehingga memberi kesan kepada kantung kewangan pasukan.

Diharapkan kelab-kelab yang layak bersaing dalam kejohanan tertinggi di Asia nanti dapat menilai dengan sebetulnya keperluan untuk memenuhi kuota pemain import itu nanti. Pemain import ini jika kena pada harga dan kualitinya, dapat membantu pasukan. Namun, jika sekadar tangkap muat, maka mereka akan menjadi liabiliti kepada pasukan.