CDAL & SEM9 mara ke pentas akhir PMSL SEA Summer 2025, bawa harapan Malaysia ke Jakarta

133

Dua daripada enam wakil Malaysia dalam kejohanan PUBG Mobile Super League (PMSL) SEA Summer 2025 telah mencipta sejarah apabila berjaya menempah tempat ke pentas akhir yang bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Pasukan CelcomDigi Alliance (CDAL) dan SEM9 membuktikan kemampuan mereka apabila tersenarai dalam kelompok 16 pasukan terbaik Asia Tenggara. 


CDAL tampil konsisten sepanjang musim liga dan menamatkan saingan di kedudukan kesembilan keseluruhan, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara kuasa besar dalam arena PUBG Mobile serantau.

Manakalan, SEM9 pula mencipta kejutan apabila berjaya meraih kedudukan ke-16 iaitu slot terakhir untuk ke pusingan akhir, meskipun berdepan cabaran getir dan saingan sengit sepanjang liga. 

Kejayaan ini dianggap satu pencapaian membanggakan buat SEM9 yang berjaya menebus peluang terakhir mereka dengan penuh dramatik.

Bagaimanapun, empat lagi pasukan Malaysia iaitu Homebois (HB), Maqna E-sports (MEC), New Era (NWE) dan Todak (TDK) gagal mengumpul mata mencukupi dan terpaksa akur menamatkan kempen mereka lebih awal.

Sementara itu, pentas akhir PMSL SEA Summer 2025 dijangka berlangsung bermula minggu hadapan yang mana selain memburu gelaran juara, tiga pasukan terbaik keseluruhan bakal meraih slot berprestij ke E-sports World Cup (EWC) yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.