Jobe Bellingham debut bersama Dortmund di Piala Dunia Kelab
Pemain tengah muda England, Jobe Bellingham, memulakan langkah baharunya bersama Borussia Dortmund apabila membuat penampilan sulung dalam perlawanan menentang Fluminense di pentas Piala Dunia Kelab 2025 yang berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey.
Dipetik dari BBC, Bellingham, 19, masuk sebagai pemain gantian dan mengikut jejak langkah abangnya, Jude Bellingham, yang sebelum ini pernah menyinar bersama Dortmund selama tiga musim sebelum berpindah ke Real Madrid.
Kehadiran Jobe di padang bagaimanapun tidak mampu membantu Dortmund mencipta kemenangan ke atas wakil Brazil itu apabila perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Fluminense, yang juga naib juara edisi 2023, menampilkan penjaga gol berpengalaman berusia 44 tahun, Fabio, yang berjaya mengekalkan rekod bersih dalam penampilan ke-1,375 sepanjang karier profesionalnya.
Pasukan dari Brazil itu mempamerkan aksi lebih berbahaya dengan beberapa percubaan hampir membuahkan hasil, termasuk daripada Jhon Arias, Hercules dan Matheus Martinelli.
Dortmund pula menyenaraikan pemain muda lain seperti Jamie Gittens dan Carney Chukwuemeka yang dipinjam dari Chelsea, namun tetap gagal mencipta jaringan.
Penampilan Jobe hadir tidak lama selepas membantu Sunderland meraih promosi ke Liga Perdana Inggeris, menjadikan debut ini sebagai satu detik penting dalam kerjayanya.
Dortmund kini bakal memperkemas taktikal menjelang aksi seterusnya dalam kejohanan berprestij ini.