FIFA dikecam kerana kurang tekanan terhadap isu perkauman di Piala Dunia Kelab
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerima kecaman daripada pelbagai pihak selepas gagal menonjolkan mesej anti-perkauman sepanjang kejohanan Piala Dunia Kelab yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat.
Dipetik dari BBC, tindakan badan induk bola sepak dunia itu dilihat bertentangan dengan komitmen yang ditunjukkan mereka dalam kejohanan terdahulu, termasuk Piala Dunia Qatar 2022.
Sebelum ini FIFA memperkenalkan kod disiplin baharu yang memperketat hukuman terhadap kes perkauman, serta menyokong pemakaian lilitan lengan “No Discrimination”.
Namun, kempen seumpama itu tidak kelihatan sepanjang kejohanan kali ini, sebaliknya, FIFA hanya mempromosikan slogan “Football Unites the World” tanpa mesej jelas menolak diskriminasi.
Menurut laporan The Athletic, bahan promosi untuk kempen “No to Racism” sebenarnya telah disediakan tetapi tidak digunakan.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Fare, Piara Powar, menyatakan rasa kecewa terhadap tindakan FIFA yang dilihat seperti mengabaikan mesej inklusif yang selama ini disokong ramai.
Beberapa pihak mengaitkan perkembangan ini dengan dasar Presiden AS, Donald Trump, yang sejak memegang jawatan telah mengarahkan penamatan program kepelbagaian, kesaksamaan dan inklusiviti (DEI) di agensi kerajaan.
Pada masa sama, Pengerusi Human Rights Soccer Alliance (HRSA), Evan Whitfield, menegaskan bahawa bola sepak mempunyai tanggungjawab sosial untuk terus menyuarakan nilai kesamarataan.
Beliau menyeru FIFA agar kekal konsisten dalam menyampaikan mesej anti-diskriminasi tanpa mengira lokasi kejohanan.
Sementara itu, badan Kick It Out turut menggesa FIFA untuk mengembalikan mesej tersebut, sambil menegaskan bahawa bola sepak mampu menyatukan masyarakat, lebih-lebih lagi ketika dunia sedang memberi perhatian penuh terhadap kejohanan ini.