Nikola Jambor tak pernah menyesal sertai Selangor FC
Bekas pemain import Selangor FC, Nikola Jambor, kini pulang ke kampung halamannya di Croatia selepas mengakhiri kontraknya bersama gergasi Liga Malaysia itu.
Menurut Jambor, kontraknya bersama Selangor hanya sehingga akhir musim lalu dan tiada lanjutan atau perbincangan ditawarkan oleh pihak pengurusan kelab.
“Saya hanya menandatangani kontrak hingga akhir musim. Tidak ada sebarang perbincangan mengenai musim seterusnya. Saya tamatkan kontrak dengan profesional, dan kami akhiri di situ. Saya ucapkan semoga berjaya kepada Selangor,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Jambor juga mengakui keputusan untuk menerima tawaran dari Selangor dibuat selepas mendapat nasihat daripada rakan-rakan yang pernah beraksi di Malaysia.
“Di Eropah, kami jarang ikuti bola sepak Asia. Tapi semua yang saya tanya kata perkara yang sama — ‘Pergilah ke Selangor, itu kelab terbesar di Malaysia.’ Dan mereka betul. Ia satu penghormatan besar dan saya tak menyesal langsung.”
Biarpun Jambor tiba pada separuh musim, namun beliau berjaya mempamerkan prestasi konsisten dalam lebih 20 penampilan, termasuk dalam kempen MFL Challenge Cup.
Malah, beliau turut tampil sebagai bek tengah dalam beberapa perlawanan penting atas keperluan pasukan.
“Saya bantu di mana yang diperlukan. Kami menang lebih 10 perlawanan berturut-turut. Walaupun itu bukan posisi utama saya, saya rasa saya berikan yang terbaik.”
Dalam pada itu, menyentuh tentang kualiti saingan Liga Malaysia, Jambor menyatakan liga ini mempunyai beberapa pasukan kompetitif tetapi jurang antara kelab utama dan pasukan lain masih ketara.
“JDT jelas mendominasi sejak sedekad lalu. Selangor pula pasukan bersejarah. Tapi selepas 5 atau 6 kelab utama, jurang kualiti agak besar.”
Beliau turut memberi pujian terhadap potensi pemain muda Selangor, khususnya pertahanan muda, Harith Haiqal.
“Dia ada potensi untuk ke Eropah, tapi perlu kekal fokus dan konsisten. Dua atau tiga perlawanan bagus tak cukup.”
Jambor pada masa sama turut meluahkan rasa gembiranya apabila berjaya menjulang trofi Challenge Cup, yang juga merupakan trofi pertama dalam karier profesionalnya.
“Walaupun ia bukan trofi terbesar di Malaysia, ini satu pencapaian yang sangat saya banggakan. Ia pengalaman pertama saya berada dalam pasukan yang diwajibkan menang dan menjulang trofi.”
Sementara itu, Jambor turut mendedahkan bahawa beliau ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain di Liga Super tetapi menegaskan kesetiaannya hanya untuk Selangor.
“Kalau saya bermain di Malaysia, saya hanya akan bermain untuk Selangor. Itu janji saya. Walaupun ada tawaran lain, saya tolak.”