Malayan Tigress tundukkan UAE 3-1, Joel Cornelli mahu kekalkan momentum menuju Kelayakan Piala Asia
Pasukan bola sepak wanita kebangsaan, Malayan Tigress, memulakan kem latihan pusat mereka di Dubai dengan langkah kanan selepas meraih kemenangan meyakinkan 3-1 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 (tertutup) pertama yang berlangsung malam tadi.
Tiga gol Malaysia dijaringkan oleh Nurfazira Muhamad Sani, Intan Sarah Anisah Zulgafli dan Nur Adrienna Zamzaihiri, sekali gus memberikan keyakinan awal kepada pasukan kendalian Ketua Jurulatih Joel Cornelli menjelang kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Cornelli memuji persembahan anak buahnya yang berjaya menterjemahkan segala perancangan taktikal dengan baik sepanjang perlawanan.
“Ia satu perlawanan yang sangat baik. Para pemain faham apa yang kami bincangkan dalam mesyuarat, dan idea permainan kami berjaya dilaksanakan,”
katanya.
Cornelli turut menekankan bahawa struktur organisasi pasukan berjaya dikekalkan sepanjang 90 minit, namun berpendapat pasukan berpotensi menjaringkan lebih banyak gol, khususnya pada babak pertama yang menyaksikan banyak peluang dicipta.
“Kami mengekalkan organisasi yang baik dan berjaya memanfaatkan peluang. Mungkin kami boleh menjaringkan lebih banyak gol pada separuh masa pertama.”
Dalam pada itu, Cornelli mengingatkan bahawa intensiti seperti ini perlu dikekalkan dalam setiap perlawanan termasuk aksi persahabatan, apatah lagi menjelang pertembungan penting menentang pasukan kuat dalam saingan Kelayakan Piala Asia di Dushanbe, Tajikistan pada hujung bulan ini.
Namun begitu, beliau secara jujur mengakui bahawa skuad kendaliannya masih dalam fasa awal pembentukan dan memerlukan lebih banyak masa untuk mencapai potensi sebenar.
“Kami masih perlu banyak berlatih dan membetulkan beberapa perkara. Masih terlalu awal, tapi sekurang-kurangnya kami sudah ada satu pasukan yang kompetitif.”
Tambah beliau, kemenangan ke atas UAE sememangnya memberi kepuasan kerana pasukan lawan berada dalam kelompok ranking yang setaraf, membuktikan Malaysia kini mampu bersaing dengan lebih baik di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, skuad Malayan Tigress akan beraksi sekali lagi menentang UAE dalam perlawanan tertutup kedua pada Ahad, 22 Jun 2025, sebagai persiapan akhir menjelang kempen Kelayakan Piala Asia Wanita yang dijadual berlangsung dari 29 Jun hingga 5 Julai 2025.