Mykhailo Mudryk berdepan penggantungan empat tahun akibat dakwaan doping

63

Pemain sayap Chelsea, Mykhailo Mudryk kini berdepan kemungkinan digantung sehingga empat tahun selepas didakwa oleh Persatuan Bola Sepak England (FA) kerana melanggar peraturan anti-doping.

Dipetik dari BBC, pemain antarabangsa Ukraine berusia 24 tahun itu digantung sementara oleh FA sejak Disember 2024 selepas keputusan ujian air kencing rutin mendapati bahan terlarang dalam sistem badannya. 


Meskipun begitu, Mudryk menafikan sekeras-kerasnya telah mengambil sebarang bahan terlarang secara sengaja dan mengakui dirinya terkejut sepenuhnya dengan keputusan tersebut.

Dalam satu kenyataan, FA mengesahkan bahawa Mudryk telah didakwa mengikut peraturan 3 dan 4 anti-doping FA, melibatkan kehadiran serta penggunaan bahan larangan. 

Kes ini masih dalam siasatan dan tiada maklumat lanjut dikongsikan buat masa ini.

Sementara itu, Chelsea belum memberikan sebarang kenyataan terkini, namun sebelum ini mereka menyatakan komitmen untuk menyiasat punca sebenar keputusan ujian tersebut. 

Kelab itu turut memberikan sokongan terhadap kesihatan mental Mudryk sepanjang penggantungannya.

Di bawah peraturan FA, pemain berhak meminta analisis terhadap sampel kedua (B sample) sekiranya sampel pertama menunjukkan keputusan positif. 

Jika sampel kedua mengesahkan dapatan yang sama, tindakan lanjut akan diambil termasuk hukuman penggantungan.

Mudryk menyertai Chelsea dari Shakhtar Donetsk pada Januari 2023 dalam perpindahan bernilai £89 juta dan terikat kontrak sehingga 2031. 

Beliau telah menjaringkan 10 gol dalam 73 penampilan bersama The Blues. Sejak 1 Disember 2024, beliau tidak lagi menyertai mana-mana perlawanan atau sesi latihan bersama pasukan.