Gaji Wirtz di Liverpool atasi Alisson, Mac Allister

109

Liverpool semakin hampir melengkapkan perpindahan pemain tengah sensasi Jerman, Florian Wirtz yang dilaporkan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Selain bakal menjadi rekod perpindahan di Liga Perdana Inggeris, perpindahan itu juga menarik perhatian ramai dengan nilai gaji yang bakal diterima oleh pemain berusia 22 tahun itu.


Menurut laporan daripada media Eropah, gaji Wirtz dijangka adalah sekitar £10.21 juta setahun – kira-kira £195,000 seminggu.

Namun, jumlah itu boleh melonjak ke £12.77 juta setahun – lebih £245,000 seminggu – termasuk bonus yang telah dipersetujui berdasarkan prestasinya.

Jumlah ini bakal menjadikannya antara pemain dengan bayaran tertinggi di Anfield – hanya di belakang Mohamed Salah dan Virgil van Dijk.

Kapten, van Dijk kini merupakan pemain dengan gaji termahal di Liverpool iaitu sekitar £400,000 seminggu, manakala Salah pula meraih kira-kira £380,000 seminggu.

Dengan kontrak selama lima tahun sehingga musim panas 2030, Wirtz bakal menjadi watak utama dalam perancangan masa depan pengurus The Reds, Arne Slot.

Musim lalu, Wirtz menjaringkan 10 gol dan 12 bantuan gol dalam saingan Bundesliga bersama Bayer Leverkusen, yang menyaksikan mereka menamatkan kedudukan di tangga kedua di belakang Bayern Munich.