The Elite Games usaha baharu serlahkan bakat muda negara – Tan Cheng Hoe
Pengarah Teknikal Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengumumkan pelancaran projek “The Elite Games”, yang bakal menjadi platform utama mencungkil dan menilai bakat pemain muda bawah 23 tahun dan ke bawah.
Menurut Cheng Hoe, perlawanan sparring pendek yang dirancang ini bukan sekadar sesi pemanas badan, sebaliknya menjadi medan penting untuk menguji keserasian dan prestasi pemain muda dalam tempoh singkat.
“Ini kali pertama kita adakan Elite Games. Tujuannya untuk himpunkan pemain bawah 23 tahun, beri peluang mereka bermain bersama dan dinilai oleh barisan kejurulatihan.
Ia juga sebahagian daripada persiapan pasukan bawah 23 untuk Piala AFF Julai ini, Kelayakan Piala Asia September dan Sukan SEA Disember nanti,”
katanya.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan agar projek ini dikembangkan melibatkan skuad B-20 dan B-18, menjadikannya agenda pembangunan menyeluruh untuk pasukan kebangsaan.
Dalam pada itu, Cheng Hoe yang sedar dengan sumbangan besar jurulatih seperti Nafuzi Zain dalam membentuk bakat muda di Terengganu dan Kedah yang mendapat sambutan baik dan idea menjadikan Elite Games sebagai acara bulanan sekiranya masa mengizinkan.
Sementara itu, beliau turut menegaskan pentingnya mentaliti pemain dalam menghadapi kejohanan.
“Selepas tempoh off-season, pemain perlu bersedia secara fizikal dan mental. Mereka perlu fokus dan gunakan peluang ini untuk tampil menyerlah. Prestasi cemerlang skuad senior boleh menjadi motivasi besar buat mereka.”