Manchester City didenda £1 juta kerana kerap melengah-lengahkan sepak mula

65

Manchester City dikenakan denda sebanyak £1.08 juta oleh Premier League selepas didapati kerap melengah-lengahkan sepak mula atau penyambungan semula perlawanan sepanjang musim lalu. 

Dipetik dari BBC, sebanyak sembilan perlawanan yang melibatkan kelab tersebut mencatatkan kelewatan, termasuk aksi Derby Manchester pada Disember 2024 yang dimulakan semula dua minit 24 saat lebih lambat selepas rehat separuh masa.


Premier League mengesahkan bahawa City menerima kesalahan tersebut dan telah memohon maaf secara rasmi atas pelanggaran berulang itu. 

Pihak liga memberikan tempoh 14 hari kepada kelab untuk menjelaskan bayaran denda berkenaan.

Musim sebelum ini, City turut didenda sebanyak £2.09 juta kerana 22 perlawanan mereka bermula lewat. 

Pengurus pasukan, Pep Guardiola, sebelum ini berjanji untuk memendekkan sesi ucapan di bilik persalinan bagi memastikan masa sepak mula dipatuhi dengan lebih baik.

Dalam satu kenyataan, Premier League menegaskan bahawa peraturan berkenaan waktu sepak mula dan penyambungan semula diwujudkan bagi menjamin tahap profesionalisme tertinggi dalam pertandingan, di samping memastikan setiap siaran langsung kekal mengikut jadual yang ditetapkan.

Sementara itu, Manchester City juga masih menunggu keputusan terhadap 115 pertuduhan pelanggaran peraturan kewangan yang difailkan terhadap mereka. 

Pertuduhan itu dikaitkan dengan tempoh antara 2009 hingga 2018, hasil siasatan selama empat tahun yang dimulakan pada 2019. 

Kes tersebut telah dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas sejak Februari 2023.

Bagaimanapun, City menegaskan bahawa mereka menolak sepenuhnya semua dakwaan dan menyatakan bahawa mereka memiliki bukti yang kukuh dan tidak boleh disangkal bagi mempertahankan kedudukan kelab.