Hannah Yeoh hadiri siri keempat Program Rakan Muda Turun Kampus 2025 di UiTM Puncak Alam
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh hari ini menghadiri Program Rakan Muda Turun Kampus siri keempat bagi tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Kuliah 500, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.
Kehadiran beliau telah membuka ruang kepada mahasiswa untuk menyampaikan aspirasi, pandangan dan idea secara langsung kepada pimpinan tertinggi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Program ini merupakan inisiatif khusus di bawah agenda Rakan Muda yang memberi fokus kepada penglibatan aktif golongan belia IPT dalam proses pembangunan negara, selari dengan nilai teras Keyakinan dan Ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI.
Antara objektif utama program ini termasuklah menyampaikan maklumat terkini tentang dasar dan inisiatif kerajaan yang berkaitan pembangunan belia dan sukan, memberi ruang kepada belia menyuarakan isu semasa serta memperluaskan pelaksanaan Gaya Hidup Rakan Demokrasi di kampus-kampus seluruh negara.
Sepanjang tahun 2025, sebanyak 10 siri Program Rakan Muda Turun Kampus dijadualkan berlangsung dengan sasaran penyertaan lebih 5,000 pelajar IPT.
Setiap sesi turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif anjuran Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).
Pelaksanaan program ini turut menyokong usaha memperkukuh identiti nasional, mempererat perpaduan serta membina jaringan kerjasama antara institusi.
Majlis hari ini turut dihadiri oleh Rektor UiTM Cawangan Selangor, YBrs. Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman bersama barisan pengurusan universiti.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai program boleh diajukan kepada JBSN menerusi talian 03-8871 3324 atau emel jbsn@kbs.gov.my.