Mbappe keluar hospital, sedia kembali sertai Real Madrid

118

Penyerang sensasi Real Madrid, Kylian Mbappe, telah dibenarkan keluar dari hospital selepas menjalani rawatan akibat gastroenteritis akut. 

Dipetik dari BBC, bintang Perancis berusia 26 tahun itu dilaporkan mengalami demam dan terpaksa diketepikan daripada sesi latihan pada Selasa serta tidak beraksi dalam perlawanan Piala Dunia Kelab FIFA menentang Al-Hilal yang berakhir seri 1-1 di Miami pada Rabu lalu.


Real Madrid pada awalnya mengumumkan bahawa Mbappe dimasukkan ke hospital akibat jangkitan usus tersebut, namun beberapa jam kemudian, pihak kelab mengesahkan beliau telah kembali ke pusat latihan mereka di Palm Beach. 

Dalam kenyataan rasmi kelab, Real Madrid memaklumkan bahawa Mbappe akan meneruskan rawatan perubatan khusus dan akan kembali menyertai latihan pasukan secara berperingkat.

Perlawanan seterusnya Los Blancos adalah menentang kelab dari Mexico, Pachuca, pada hari Ahad. 

Sekiranya Mbappe belum pulih sepenuhnya, beliau dijangka boleh kembali untuk perlawanan kumpulan terakhir menentang Salzburg pada 26 Jun.

Musim ini, Mbappe telah menjaringkan 43 gol dalam 56 perlawanan dalam semua kejohanan untuk Real Madrid, selepas menyertai kelab itu secara percuma dari Paris Saint-Germain. 

Ini juga merupakan musim pertama Real di bawah bimbingan pengurus baharu, Xabi Alonso, yang mengambil alih tugas daripada Carlo Ancelotti.

Setakat ini, Real telah berjaya menjulang Piala Super UEFA dan Piala Antara Benua FIFA iaitu dua trofi penting dalam musim pertama Mbappe menyarung jersi putih Real Madrid.