FIFA siasat dakwaan rasis terhadap Rudiger dalam aksi Piala Dunia Kelab

90

Pertahanan Real Madrid, Antonio Rudiger, mendakwa dirinya menjadi mangsa penghinaan berunsur perkauman ketika perlawanan Piala Dunia Kelab menentang Pachuca dari Mexico baru-baru ini. 

Dipetik dari BBC, insiden dipercayai berlaku pada minit akhir permainan ketika Rudiger bertembung dengan kapten Pachuca, Gustavo Cabral.


Rudiger dilihat terjatuh dan terus berkomunikasi dengan pengadil perlawanan, Ramon Abatti Abel. 

Pengadil kemudian membuat isyarat menyilangkan tangan di dada – isyarat rasmi FIFA untuk mengaktifkan protokol anti-rasisme. 

Tidak dapat dipastikan sama ada penghinaan itu datang daripada pemain lawan atau penyokong di stadium.

Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan 3-1 memihak kepada Real Madrid, namun perbalahan antara pemain kedua-dua pasukan berlarutan selepas wisel penamat dibunyikan.

Pengurus Real Madrid, Xabi Alonso, memberi sokongan penuh kepada Rudiger. “Itu yang diberitahu Rudiger kepada kami, dan kami percaya padanya. Toleransi sifar terhadap sebarang bentuk diskriminasi perlu dipertahankan. FIFA kini sedang menyiasat perkara ini,” katanya.

Rudiger, yang sebelum ini pernah bersuara mengenai isu perkauman ketika bersama Chelsea, pernah menyatakan bahawa perjuangan melawan diskriminasi mesti diteruskan. 

Beliau sebelum ini turut kecewa dengan kurangnya tindakan tegas dalam bola sepak dunia.

FIFA sebelum ini juga dikritik hebat kerana dilihat mengurangkan mesej anti-rasisme dalam kejohanan edisi kali ini.