Garnacho curi tumpuan dengan jersi Aston Villa
Pemain sayap muda Manchester United, Alejandro Garnacho, menarik perhatian peminat bola sepak apabila memuat naik gambar dirinya mengenakan jersi Aston Villa yang tertera nama Marcus Rashford ketika sedang bercuti.
Dipetik dari BBC, gambar itu dimuat naik ke laman media sosialnya pada malam Ahad, menunjukkan sokongan padu terhadap rakan sepasukannya.
Jersi Aston Villa berwarna merah hati dan biru itu lengkap dengan nama “Rashford 9” di bahagian belakang.
Marcus Rashford, yang kini menjalani pinjaman enam bulan bersama Aston Villa selepas disisihkan oleh pengurus Ruben Amorim, membalas hantaran Garnacho dengan komen “My brother” serta emoji hati, menunjukkan hubungan akrab mereka.
Menurut sumber, tindakan Garnacho tidak membawa maksud tersembunyi, sebaliknya sekadar tanda solidariti terhadap Rashford.
Namun begitu, masa depan Garnacho di Old Trafford turut menjadi persoalan apabila Amorim dikatakan telah memberi lampu hijau kepadanya untuk mencari kelab baharu musim panas ini.
Hubungan antara kedua-dua pihak dilaporkan renggang selepas Garnacho meluahkan rasa kecewa kerana hanya bermain 20 minit dalam perlawanan akhir Liga Europa menentang Tottenham, walaupun menyumbang dalam hampir setiap peringkat kejohanan tersebut.
Sementara itu, Rashford turut dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona.
Dalam satu wawancara baru-baru ini, Rashford menyatakan minat untuk bergandingan dengan pemain muda sensasi Sepanyol, Lamine Yamal, menyifatkannya sebagai bakat luar biasa yang sukar ditandingi pada usia muda.