RYFC dan semangat “Malaysia Boleh”: Impian, pengorbanan dan harapan seorang ayah

333

Di sebalik dunia bola sepak akar umbi yang sering bergelut dengan cabaran kewangan dan kekurangan sumber, Rising Youth Football Club (RYFC) tampil sebagai satu cahaya harapan — lahir daripada tekad seorang ayah yang mahu mengubah masa depan anak-anak muda melalui sukan dan pendidikan.

Pengasasnya, Yap Thiam Hoi berkongsi kisah luar biasa bagaimana beliau membina RYFC hanya dalam tempoh empat bulan, bermula dengan impian untuk anaknya sendiri, sehingga berkembang menjadi sebuah pasukan yang kini menarik perhatian institusi bola sepak terkemuka, termasuk Akademi Mokhtar Dahari (AMD).


“Saya hanya mahu buktikan bahawa anak-anak Malaysia juga boleh. Saya tak mahu nama, saya hanya mahu beri impian.

Saya mulakan RYFC kerana anak saya. Tapi impian itu cepat membesar. Saya lihat budak-budak lain juga ada harapan yang sama. Jadi saya bina pasukan ini untuk mereka semua,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Yap, kemenangan bukan keutamaan kerana apa yang lebih penting ialah semangat, nilai kerja keras, dan rasa percaya diri yang ditanam dalam setiap pemainnya.

Biarpun dalam tempoh singkat ditubuhkan, RYFC telah menyertai empat kejohanan, termasuk KL League, JSE dan Genting Super Cup di mana mereka bukan sekadar ‘menyertai’, malah berjaya muncul juara Genting Super Cup dan kini sedang mendahului Liga Suparimau KL bawah 14 tahun.

“Saya hanya mahu buat satu pasukan kompetitif untuk membesarkan anak saya. Tapi bila tengok mereka berkembang, saya tahu saya tak boleh berhenti di sini.”

Dalam pada itu, Yap tidak hanya memberi tumpuan kepada bola sepak sahaja tetapi turut memberi penekanan terhadap pendidik dan nilai hidup.

Jelasnya, selain latihan fasiliti bola sepak beliau turut menyediakan tuisyen percuma kepada pemain-pemainnya dengan subjek seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris menjadi tumpuan.

“Saya tahu macam mana rasa dipandang rendah sebab tak fasih Bahasa Inggeris. Saya sendiri pernah rasa, masa belajar di Amerika. Sebab itu saya nak budak-budak ni bukan saja hebat di padang, tapi juga di dalam kelas.”

Yap juga bercadang untuk menyediakan galeri analisis perlawanan, jurulatih profesional, malah sebuah bas khas untuk kegunaan pasukan. 

Kesemua perkara tersebut ditanggung sepenuhnya dari poketnya sendiri termasuk sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi pasukannya.

“Saya ada 6-7 mesyuarat sehari. Tapi bila sampai masa latihan, hati saya dah di padang. Kadang-kadang saya tolak mesyuarat dengan Tan Sri, sebab saya nak bawa pasukan ke AMD.”

Yap juga mahu RYFC mencerminkan perpaduan sebenar rakyat Malaysia. Dalam pasukannya, ada Melayu, Cina dan India — satu semangat 1Malaysia yang kini semakin jarang dilihat.

“Saya nak buat satu pasukan yang macam zaman 50-an, 60-an. Semua bangsa ada. Kita tunjuk pada dunia, kita boleh bersatu dan berjaya.”

Sementara itu, Yap turut menjelaskan mengapa beliau sanggup berbelanja besar tanpa jaminan pulangan.

“Saya percaya Tuhan akan pulangkan dalam bentuk lain. Kalau bukan kepada saya, mungkin kepada anak saya. Saya hanya mahu beri impian dan kegembiraan kepada orang sekeliling saya.”

RYFC bukan sekadar kelab bola sepak. Ia adalah wadah harapan, jambatan kepada masa depan, dan bukti nyata bahawa apabila seseorang benar-benar ikhlas, perubahan besar boleh berlaku.

“Saya tak perlu nama, tak perlu gelaran. Saya hanya mahu jadi salah seorang daripada jutaan rakyat Malaysia yang berusaha buat sesuatu yang baik. Itu saja.”