RYFC dipuji selepas beri tentangan sengit kepada AMD
Jurulatih pasukan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-13, Mohamad Firdaus memuji persembahan pasukan lawan Rising Youth Football Club (RYFC) yang berjaya memberikan saingan sengit.
Menurut Firdaus, walaupun pasukannya berjaya menang 1-0 tapi beliau memuji RYFC yang telah mempamerkan pertahanan yang sangat kukuh dan tersusun sehingga menyukarkan pasukannya untuk menjaringkan gol.
“Alhamdulillah, pemain kami bermain dengan baik pagi ini. Tapi harus saya akui, RYFC beri tentangan yang sangat sengit kepada kami. Mereka bermain dengan sangat solid dari segi bertahan, sampai kami agak struggle untuk mencari gol pada separuh masa pertama,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Bagi pasukan yang baru berusia empat bulan, kemampuan mereka menyaingi akademi ternama seperti AMD adalah pencapaian yang luar biasa.
“Nasihat saya, teruskan bermain seperti hari ini. Kekalkan momentum ini supaya dapat beri tentangan sihat kepada kelab-kelab lain dan bantu tingkatkan kualiti bola sepak akar umbi di negara kita.”
Dalam pada itu, Firdaus turut memberitahu bahawa masih ada ruang untuk penambaikan buat pasukannya, khususnya di bahagian tengah.
“Dari perlawanan tadi, saya lihat kita boleh tambah baik dari segi midfield — terutamanya dalam membuat larian dan mempercepatkan pergerakan bola daripada pertahanan ke tengah dan seterusnya ke bahagian serangan.”
Pada masa sama, beliau turut memuji perkembangan teknikal dan kreativiti para pemain yang baru menyertai akademi, walaupun masih di peringkat awal pembangunan.
“Secara purata, pemain yang baru menyertai AMD biasanya mengambil masa sekitar lima hingga enam bulan untuk benar-benar menyesuaikan diri dengan corak latihan dan falsafah permainan yang kami terapkan.”