Manchester United buat tawaran baharu lebih £60 juta untuk Bryan Mbeumo
Manchester United telah mengemukakan tawaran baik pulih melebihi £60 juta kepada Brentford untuk mendapatkan penyerang Cameroon, Bryan Mbeumo.
Dipetik dari BBC, tawaran ini hadir selepas bidaan awal bernilai £45 juta ditolak, walaupun ia disertai dengan tambahan sehingga £10 juta dalam bentuk insentif.
Sekiranya berjaya, Mbeumo akan menjadi pemain kedua yang ditandatangani United musim panas ini selepas Matheus Cunha yang dibawa masuk dari Wolves dengan nilai £62.5 juta.
Ketika ini, perbincangan antara kedua-dua kelab masih berjalan dan dijangka berterusan minggu ini.
Brentford dilaporkan hanya bersedia melepaskan Mbeumo sekiranya menerima tawaran setara dengan apa yang diterima oleh Wolves bagi Cunha.
Penyerang berusia 25 tahun itu masih mempunyai baki setahun kontrak bersama kelab London tersebut.
Mbeumo mencatatkan musim terbaik dalam kariernya bersama Brentford apabila menjaringkan 20 gol dan mencipta sembilan bantuan gol musim lalu.
Pengalamannya dalam Liga Perdana menjadi nilai tambah utama buat pengurus baru United, Ruben Amorim, yang memerlukan pemain yang mampu memberi impak segera sebelum musim baru bermula.
Bagaimanapun, Mbeumo dijangka akan terlepas empat minggu aksi musim 2025-26 disebabkan penyertaannya bersama Cameroon dalam Piala Negara-Negara Afrika di Maghribi.
Dalam masa yang sama, masa depan Alejandro Garnacho juga mencetuskan tanda tanya selepas memuat naik gambar dirinya memakai jersi Aston Villa dengan nama ‘Rashford’, di tengah spekulasi perpindahannya.