Christophe Gamel akui Sri Pahang FC masih belum sedia sepenuhnya
Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel mengakui persiapan pasukannya masih lagi belum mencapai tahap seratus peratus walaupun saingan Liga Super bakal membuka tirai pada 4 Mac ini.
Menurut Gamel, masalah jangkitan COVID-19 dan kecederaan beberapa pemain merencatkan sedikit perancangannya ketika ini.
“Progres persiapan memang bagus tetapi sedikit terencat apabila kami terpaksa menghentikan latihan dua kali kerana COVID-19, bagaimanapun kesemua pemain sememangnya bersemangat dan saya sangat gembira dengan keadaan itu.
Tidak dapat dinafikan saya sedikit kecewa tidak dapat membentuk sebuah pasukan seperti yang saya mahu ketika ini tetapi saya perlu terima hakikat,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambah pengendali dari Perancis ini lagi, selain dibelenggu masalah kecederaan beberapa pemain beliau juga sedikit bimbang dengan keadaan cuaca hujan lebat di Kuatan.
Gamel bagaimanapun enggan menjadikan ia sebagai alasan, sebaliknya akan membuat perubahan mengikut kesesuaian.
Pahang akan membuka tirai perlawanan mereka menentang Terengganu FC di Stadium Darul Makmur pada 5 Mac ini akan menjadi ujian pertama Gamel.
“Sedikit malang buat kami apabila Pahang akan bertemu dengan tiga pasukan kuat pada permulaan musim, namun saya akan cuba mengadaptasi dan membuat beberapa perubahan dengan apa yang ada sekarang ini untuk memastikan kami dapat beri saingan sengit.”
Selepas Terengganu, Pahang akan bertemu dengan Selangor FC pada perlawanan kedua dan Kedah Darul Aman FC pada perlawanan ketiga.
Dalam pada itu, Gamel yang diminta mengulas mengenai sasaran oleh pihak pengurusan Pahang yang menyasarkan top 5 dalam Liga Super, beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana ia masih terlalu awal.
“Ya memang pihak pengurusan meletakkan sasaran top 5 tetapi saya tidak akan meletak sebarang sasaran ketika kerana saya perlu melihat terlebih dahulu dalam tempoh dua atau tiga bulan ini samada kami mampu mencapai sasaran itu atau tidak.”
Sementara itu, bercerita lanjut mengenai latihan yang diterap Gamel kepada pemain-pemainnya, beliau sangat menitikberatkan soal disiplin bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam prestasi terbaik.
“Saya bergelut sedikit pada mulanya kerana di Malaysia sukar untuk mendapat konsistensi. Kadang-kadang sangat bagus, tapi kadang kala boleh menurun dengan drastik. Ia satu cabaran buat saya untuk menganalisis dan mencari solusi.
Pada masa sama saya akan tekankan soal disiplin kerana ketika saya di Perancis, pemain-pemain di sana sangat pentingkan disiplin kerana ia mampu menjadi penentu kepada kemenangan dan juga kekalahan.”