Duo Cup 2025 tarik puluhan ribu penyokong: Apa yang Liga Super boleh pelajari

247

Perlawanan amal Duo Cup 2025 menyaksikan ribuan penyokong membanjiri stadium bagi menyaksikan pertarungan nostalgik antara Ex-Kelantan dan Ex-Selangor. 

Ironinya, dalam suasana Liga Super yang sering menyaksikan bangku kosong dan kehadiran penonton yang suram, acara bukan kompetitif ini berjaya mencetuskan fenomena. 


Perkara ini telah menimbulkan persoalan besar dalam kalangan peminat dan penggiat bola sepak iaitu mengapa perlawanan amal menarik lebih ramai penonton berbanding perlawanan Liga Super?

Tidak dapat dinafikan Duo Cup mengetengahkan nama-nama lagenda yang pernah mencorakkan zaman kegemilangan bola sepak negeri. 

Penyokong hadir bukan sekadar untuk menonton aksi bola, tetapi untuk mengimbau kenangan dan menghargai jasa pemain yang pernah mereka sorak dengan penuh emosi. Liga Super kini kurang menawarkan naratif ‘emosi’ yang serupa.

Tambahan pula, ia adalah perlawanan amal di mana ia bukan sekadar tentang bola sepak, tetapi juga solidariti. 

Kehadiran peminat sering dipengaruhi oleh tujuan murni iaitu mahu menyumbang sambil berhibur, manakala Liga Super jarang mengaitkan nilai sosial dalam acara mereka.

Pada masa sama acara seperti Duo Cup selalunya lebih interaktif dan meriah baik dari gerai makanan tempatan, aktiviti keluarga, hingga perjumpaan peminat dengan pemain. 

Ia memberi pengalaman stadium yang menyeluruh, sebaliknya, banyak perlawanan Liga Super masih hambar dari aspek suasana dan sambutan.

Bagaimanapun masih ada ruang dan peluang untuk menyaksikan stadium dibanjiri peminat untuk perlawanan liga tempatan sekiranya pihak bertanggungjawab seperti kelab dan pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL) bergandingan bahu dalam usaha memartabatkan bola sepak negara.

Antara perkara yang mungkin boleh dilakukan:

Naratif dan identiti yang kuat
Setiap kelab perlu bangunkan jalan cerita tersendiri — tentang pemain tempatan, kisah kejayaan, atau ikatan komuniti. Pasukan seperti Kelantan dan Selangor sebelum ini berjaya kerana penyokong rasa mereka sebahagian daripada perjalanan itu.

Fokus kepada komuniti dan penyokong
Dekati penyokong dengan program akar umbi, klinik bola sepak, atau lawatan ke sekolah. Jadikan kelab lebih mesra rakyat.

Pengalaman hari perlawanan yang lebih unik
Tingkatkan suasana stadium: hiburan sebelum perlawanan, zon kanak-kanak, aktiviti sampingan. Jangan biarkan stadium cuma jadi tempat duduk dan tiupan wisel.

Tiket, promosi dan akses lebih mesra
Harga tiket yang munasabah, promosi menarik, dan kemudahan pengangkutan awam boleh memainkan peranan besar dalam menarik semula penonton.

Jika perlawanan seperti Duo Cup boleh mengisi stadium, ia adalah petanda bahawa minat terhadap bola sepak tempatan masih tinggi dan hanya menanti pendekatan yang lebih menyentuh hati dan pengalaman. 

MFL dan setiap kelab kini perlu menyusun semula strategi untuk membina semula hubungan yang semakin renggang antara kelab dan penyokong.