Nafuzi puas hati dengan ‘The Elite Games’, satu langkah penting menjelang Piala Mandiri B-23

192

Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan B-23 Malaysia, Nafuzi Zain, meluahkan kepuasan beliau terhadap pelaksanaan program ‘The Elite Games’ yang berlangsung malam tadi yang mana program tersebut dijalankan sebagai persiapan menjelang Kejohanan Piala Mandiri ASEAN B-23 2025 di Jakarta, Indonesia pada 15 Julai depan itu dianggapnya sangat berjaya mencapai objektif pemilihan pemain.

“Saya rasa memang saya amat berpuas hati dengan Elite Games ini. Saya rasa Elite Game ini patut diteruskan. Terutamanya lagi bagus kalau ia berlaku setiap bulan untuk kita terutamanya dari segi ‘monitoring player’ untuk melihat pemain dari semasa ke semasa,” 

katanya.

Nafuzi turut menegaskan objektif utama The Elite Games telah tercapai sepenuhnya.


“Saya rasa objektif yang kita ada ke Elite Games ini tercapai malahan. Di situ saya banyak menilai, melihat pemain. Sebelum ini kita banyak melakukan ‘scouting’, melihat mereka bermain game, supaya mereka melihat kita. Semalam kita training, hari ini kita ada ke Elite Games. Saya rasa kita dapat melihat sepenuhnya kebolehan pemain dan menilai pemain itu sendiri,”

Tambahnya lagi, The Elite Games merupakan platform penting mengkaji potensi individu pemain sebelum membentuk kombinasi pasukan yang mantap.

Beliau juga menekankan bahawa program ini memberi peluang keemasan kepada pemain yang kurang mendapat ruang di peringkat kelab, terutamanya di Liga Super. 

“Kadang-kadang pemain-pemain ini mempunyai potensi sendiri cuma mungkin peluang dan ruang itu terhad. Saya memanggil kebanyakannya (mostly) ada yang tidak pernah bermain untuk bawah-20, bawah-23, malah ada yang kali pertama untuk pasukan kebangsaan. Jadi saya rasa satu peluang yang baik untuk mereka.”

Dalam pada itu, Nafuzi menganggarkan sebahagian besar (60-70%) daripada 26 pemain yang menyertai The Elite Games berpotensi untuk dipanggil menyertai kem latihan pusat seterusnya.

“Kemungkinan besar saya rasa mungkin dalam 70-60 peratus juga. Sebab itu Elite Games ini adalah satu game yang penting untuk kita mengenal pasti pemain.”

Sementara itu, Nafuzi memberitahu bahawa skuad negara akan memulakan kem latihan pusat pada awal 1 Julai sehingga 12 Julai sebelum terbang ke Jakarta, Indonesia.

Sebagai persiapan terakhir, pasukan juga merancang untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan tertutup menentang pasukan-pasukan dari Liga Super Malaysia sebelum berangkat ke Jakarta. 

“Mungkin kita dari segi perancangan mungkin kita adakan tiga perlawanan dengan kelab, dari Liga Super, tengah dalam proses tapi insyaAllah semuanya akan okey… Itu nanti dimaklumkan kemudian.”