Chelsea tempah slot ke pusingan kalah mati Piala Dunia Kelab

66

Chelsea mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan kalah mati Piala Dunia Kelab selepas menundukkan kelab Tunisia, ES Tunis dengan kemenangan bergaya 3-0 di Lincoln Financial Field, Amerika Syarikat.

Dipetik dari BBC, penyerang muda, Liam Delap muncul wira apabila mencatat gol pertamanya untuk The Blues pada penghujung babak pertama. 


Gol tersebut hadir hanya dua minit selepas Tosin Adarabioyo menanduk masuk sepakan percuma Enzo Fernandez untuk membuka tirai jaringan.

Delap, yang baru sahaja menyertai Chelsea dari Ipswich dengan nilai perpindahan £30 juta, menyempurnakan peluang dengan satu rembatan tenang  sekaligus melegakan kem pasukan yang ketika itu masih diasak hebat oleh wakil Afrika tersebut.

Pemain gantian, Tyrique George, melengkapkan kemenangan mutlak dengan gol ketiga pada saat-saat akhir permainan di hadapan lebih 32,000 penonton.

Pengurus Chelsea, Enzo Maresca, melakukan lapan pertukaran dalam kesebelasan utama akibat cuaca panas dan lembap di Philadelphia yang masih terasa seperti 36°C sewaktu sepak mula jam 9 malam. 

Beberapa tonggak utama seperti Cole Palmer, Pedro Neto dan Moises Caicedo turut direhatkan bagi menjaga kecergasan.

Walaupun beraksi dengan beberapa muka baharu, Chelsea tetap berjaya mengawal permainan dan menafikan kebangkitan ES Tunis, yang memerlukan kemenangan untuk mara.

Dengan kemenangan ini, Chelsea menamatkan saingan sebagai naib juara Kumpulan D di belakang Flamengo, dan bakal bertemu Benfica dalam aksi 16 terakhir kejohanan.