Lyon disingkir ke Ligue 2 dek masalah kewangan
Juara tujuh kali Ligue 1, Lyon, telah diturunkan ke liga divisyen kedua (Ligue 2) oleh badan pemantau kewangan bola sepak Perancis, menurut pengumuman Liga Bola Sepak Profesional Perancis (LFP) pada hari Selasa.
Dipetik dari France24, keputusan ini diumumkan oleh Liga Bola Sepak Profesional Perancis (LFP) pada Selasa lalu selepas kelab itu gagal meyakinkan DNCG untuk menarik balik sekatan kewangan yang dikenakan sejak November 2024.
Dalam pendengaran tersebut, Lyon tidak dapat membuktikan kestabilan kewangan walaupun presidennya, John Textor, menyatakan keyakinan bahawa kelab berada dalam kedudukan yang kukuh.
“Kami telah membuat pelbagai pelaburan dalam beberapa minggu ini. Segalanya baik dari segi kewangan,” ujar Textor sebelum pendengaran berlangsung.
Sebagai langkah menstabilkan kewangan, Lyon telah menjual pemain bintang seperti Rayan Cherki ke Manchester City dan Maxence Caqueret ke Como, selain mengurangkan kos gaji dan menjual saham majoriti Textor dalam kelab Crystal Palace.
Namun, semua itu masih belum mencukupi untuk meyakinkan DNCG.
Lyon, yang tidak pernah beraksi di Ligue 2 sejak 1989, telah memenangi tujuh gelaran Ligue 1 berturut-turut dari 2002 hingga 2008, menjadikan mereka antara kelab paling berjaya di Perancis.
Mereka juga baru sahaja menamatkan musim 2024/25 di tangga keenam Ligue 1 dan layak ke Liga Europa.
Sekiranya rayuan mereka gagal, Lyon akan digantikan oleh Reims dalam Ligue 1 musim hadapan, sekali gus menandakan kejatuhan dramatik sebuah kelab lagenda akibat kegagalan mengurus kewangan secara lestari.