Arsenal dapatkan Christian Norgaard dari Brentford, bakal ganti Partey?
Arsenal akhirnya bersetuju untuk membawa masuk pemain tengah Brentford, Christian Norgaard sebagai sebahagian daripada perancangan memperkukuh barisan tengah menjelang musim baharu.
Dipetik dari BBC, perpindahan ini dijangka melibatkan bayaran asas sekitar £10 juta, dengan tambahan sehingga £5 juta bergantung kepada prestasi.
Perpindahan ini hadir ketika masa depan Thomas Partey masih belum pasti, dengan kontraknya akan tamat minggu depan.
Rundingan lanjutan kontrak bersama pemain Ghana berusia 32 tahun itu masih belum mencapai kata putus.
Walaupun Lucien Agoume dari Sevilla turut berada dalam senarai sasaran, pengurus Mikel Arteta lebih berminat mendapatkan pemain yang sudah biasa dengan corak Premier League.
Norgaard, 31, menyertai Brentford dari Fiorentina pada tahun 2019 dan telah menjadi nadi utama pasukan di bawah kendalian Thomas Frank.
Malah, beliau dilantik sebagai kapten pasukan sebelum Frank menyertai Tottenham Hotspur awal Jun lalu.
Proses perbincangan antara Brentford dan Arsenal berjalan pantas dalam tempoh 24 jam terakhir, dan kini persetujuan telah dicapai.
Norgaard akan menjalani ujian perubatan dalam masa terdekat sebelum menyertai secara rasmi skuad Arteta.
Meskipun bukan pilihan utama sejak awal, pengalaman luas Norgaard dalam Premier League menjadikannya pilihan ideal bagi Arsenal yang sedang mencari keseimbangan antara pengalaman dan kesediaan taktikal.
Selain itu, Arsenal dijangka melengkapkan pembelian penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga dengan membayar klausa pelepasan £5 juta serta hampir menyelesaikan perpindahan Martin Zubimendi dari Real Sociedad bernilai £51 juta.