Tinggi tak semestinya beri saya kelebihan – Mamadou Samassa

4,234

Penjaga gol baru Sri Pahang FC, Mamadou Samassa tidak menganggap ketinggiannya akan memberi kelebihan yang lebih tetapi tidak menafikan ketinggian adalah sesuatu yang bagus untuk seorang pemain di posisinya.

“Ya saya sedia maklum bahawa saya merupakan penjaga gol tertinggi di Liga Malaysia tetapi ia bukanlah satu kelebihan kerana kadang-kadang ia boleh menjadi satu kelemahan juga.

Tetapi untuk seorang penjaga gol, ketinggian seperti saya adalah sesuatu yang bagus,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Samassa kini menjadi penjaga gol tertinggi di Liga Malaysia dengan ketinggian 1.97 meter dan dijangka bakal menjadi tumpuan ramai apabila saingan Liga Super bermula pada 5 Mac ini.


Dalam pada itu, Samassa berkata beliau tertarik untuk menyertai Pahang selepas mendapat panggilan daripada ketua jurulatih Christophe Gamel.

“Saya datang ke Pahang kerana saya mengenali jurulatih (Christophe Gamel) yang mempunyai reputasi yang bagus di Perancis dan apabila beliau menghubungi saya, saya tidak ambil masa lama untuk bersetuju datang ke sini.”

Terdahulu Samassa pernah bermain di Ligue 2 (Perancis) dan Super Lig (Turki) sebelum berhijrah ke Greece bermain di Super League 2 dan kini bermain di Liga Malaysia.

Dalam pada itu, beliau mahu membantu pasukan Pahang untuk kembali menjadi pasukan gergasi Pantai Timur setelah bergelut untuk beberapa musim kebelakangan ini.

“Saya sedar Pahang dalam dua tiga tahun kebelakangan ini tidak berapa bagus tetapi saya tahu Pahang adalah sebuah pasukan yang besar di Liga Malaysia jadi saya harap kami dapat bantu pasukan ini turut mengembalikan zaman kegemilangan.”

Pahang akan membuka tirai saingan Liga Super pada 5 Mac ini menentang Terengganu FC di Stadium Darul Makmur.