Ronaldo kekal di Arab Saudi, meterai kontrak baharu sehingga 2027

104

Legenda bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo, sah akan terus beraksi di Liga Pro Saudi selepas menandatangani kontrak baharu bersama kelabnya, Al-Nassr yang sehingga pertengahan tahun 2027.

Perkembangan ini sekali gus menamatkan spekulasi perpindahan ke Eropah atau Amerika Syarikat, dengan pemain berusia 39 tahun itu komited untuk terus menjadi tonggak utama dalam projek besar bola sepak Arab Saudi.


Walaupun belum ada pengumuman rasmi daripada pihak kelab setakat ini, pengumuman dijangka dibuat dalam masa terdekat.

Sejak tiba di Arab Saudi, Ronaldo telah memberikan impak yang sangat besar kepada Al-Nassr dan liga secara keseluruhan.

Sejak menyertai Al Nassr pada Disember 2022, Ronaldo telah melakukan sekitar 106 penampilan dalam semua pertandingan dan menjaringkan 96 gol serta mencatat 19 bantuan jaringan — satu angka yang membuktikan beliau masih lagi konsisten walaupun usianya kini mencecah 40 tahun.

Untuk musim 2024/25 sahaja, Ronaldo menjaringkan 35 gol dalam 41 perlawanan dengan 4 bantuan jaringan.

Dalam saingan liga, beliau menjaringkan 25 gol daripada 30 perlawanan, sekali gus muncul sebagai penjaring terbanyak liga musim ini, mempertahankan anugerah Kasut Emas yang dimenanginya musim lalu (35 gol pada musim 2023/24).

Di pentas Liga Juara-Juara AFC, Ronaldo turut mencatat 8 gol daripada 8 perlawanan, dan menambah 2 gol serta 1 assist dalam kempen Piala Super Saudi.

Dengan kontrak yang akan membawa beliau sehingga usia 42 tahun, Ronaldo kini berpeluang mencatat lebih banyak rekod baharu — baik di peringkat kelab mahupun individu.

Fokus utamanya adalah membantu Al-Nassr memenangi Liga Pro Saudi, dan lebih penting, kejuaraan Liga Juara-Juara AFC yang menjadi sasaran utama kelab.