Jenama tempatan mula ‘melekat’ di hati pasukan bola sepak Malaysia

10,315

Pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia terutamanya Liga Super, Liga Perdana dan Liga M3 kini sedang ligat memperkenalkan barisan pemain dan juga jersi yang bakal digunakan bagi menghadapi saingan liga musim ini.

Apa yang menarik, selain ditaja oleh jenama besar antarabangsa, kebanyakan pasukan juga sudah mula beralih untuk menggunakan jenama tempatan. Hal ini merupakan satu perkembangan yang sangat positif untuk industri bola sepak negara terutamanya buat pengusaha-pengusaha kelengkapan sukan.


Pasukan-pasukan besar yang bertanding dalam Liga Super misalnya seperti Melaka United FC telah melancarkan jersi baharu yang akan digunakan untuk musim 2022. Mereka terus memilih jenama AL di bawah Al-Ikhsan sebagai penaja rasmi jersi mereka.

Jika diamati, jersi terbaharu pasukan ini dilihat segar dan menampilkan corak yang mampu untuk menarik minat penyokong untuk membelinya.

Selain itu, pasukan Sri Pahang FC juga turut bekerjasama dengan jenama tempatan, Hakka Clo untuk menaja pasukan utama daripada kelengkapan latihan sehingga ke jersi untuk perlawanan.

Sumber: Sri Pahang FC FB

Manakala untuk skuad Piala Presiden dan Piala Belia, skuad ini menggunakan jenama Voltra yang juga merupakan sebuah jenama tempatan. Jersi home skuad muda pasukan ini telah habis dijual beberapa hari selepas ianya dilancarkan secara rasmi.

Jika bercakap mengenai industri pakaian sukan jenama tempatan, tidak lengkap jika tidak menyentuh mengenai Kaki Jersi. Jenama ini sebenarnya sudah melangkah ke peringkat antarabangsa apabila menaja sebuah kelab di Kemboja yang menandakan bahawa jenama-jenama tempatan mampu untuk bersaing dengan jenama besar antarabangsa.

Dan untuk musim ini, mereka akan menjadi penaja utama bagi pasukan Negeri Sembilan FC. Ini merupakan kesinambungan daripada penajaan musim lalu yang melihatkan pasukan ini mencapai kejuaraan Liga Perdana dan layak ke Liga Super 2022.

Mereka akan melancarkan jersi pasukan ini secara rasmi pada hari Ahad, 27 Februari 2022.

Selain itu, pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga M3 juga turut menggunakan jenama-jenama tempatan. Pasukan BRM FC sebagai contoh menggunakan jenama Stallion.

Manjung City FC yang berpengkalan di Manjung turut menggunakan jenama Hakka Clo sebagai jenama rasmi pakaian latihan dan perlawanan.

Kemasan yang segar, corak yang tidak mengikut template seperti jenama-jenama besar, kualiti tinggi dan harga yang mampu milik menjadi antara faktor utama mengapa jenama-jenama ini mula mendapat tempat dalam pasukan-pasukan Liga Malaysia dan penyokong-penyokong mereka.

Dapat dilihat kini, jenama ini sudah mampu untuk ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan kuasa besar yang lain. Tidak mustahil suatu hari nanti jenama-jenama ini akan menjadi penaja rasmi untuk skuad bola sepak kebangsaan.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen