UEFA tangguh keputusan penyertaan Crystal Palace dalam Liga Europa
Harapan Crystal Palace untuk beraksi dalam saingan Liga Europa musim depan masih tergantung selepas UEFA menangguhkan keputusan rasmi mengenai penyertaan kelab itu.
Dipetik dari BBC, Palace, yang meraih tempat ke pertandingan tersebut hasil kejayaan menjulang Piala FA musim lalu, kini terkesan dengan peraturan pemilikan pelbagai kelab UEFA.
Masalah timbul apabila salah seorang pemilik bersama Palace, John Textor, juga memiliki majoriti pegangan dalam kelab Perancis, Olympique Lyon.
Menurut peraturan UEFA, dua kelab di bawah pemilikan yang sama tidak dibenarkan bersaing dalam kejohanan Eropah yang sama demi menjaga integriti pertandingan.
Sebagai langkah proaktif, Textor dilaporkan bersetuju untuk menjual pegangan 44% dalam Palace kepada pemilik New York Jets, Woody Johnson, bagi membuka laluan kepada kelab England itu menyertai saingan musim depan.
Namun, kemelut semakin rumit apabila Lyon dijatuhkan ke Ligue 2 oleh badan bola sepak Perancis akibat isu kewangan.
Walaupun mereka sedang mengemukakan rayuan, Lyon telah menyatakan kesediaan untuk menarik diri daripada Liga Europa sekiranya rayuan itu gagal.
Berikutan situasi itu, UEFA memutuskan untuk menunggu keputusan rayuan Lyon sebelum membuat pengesahan mengenai penyertaan Palace.
Sekiranya Palace dibenarkan beraksi, mereka akan terus layak ke peringkat kumpulan yang akan bermula September ini, dengan undian dijadual pada 29 Ogos.
Keputusan rasmi UEFA dijangka diumumkan dalam masa terdekat.