MFL sedia beri kelonggaran kepada pasukan dari Liga A1 naik ke Liga Super – Shazli Shaik

199

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, mengakui wujud jurang signifikan antara Liga A1 Semipro dan Liga Super Malaysia, justeru bersedia memberikan kelonggaran kriteria kelab lesen (club licensing) kepada pasukan yang baru dinaikkan pangkat.

Menurut Shazli, pihak MFL telah menyediakan kelonggaran khas untuk pasukan baharu selama satu musim, termasuk pengecualian daripada keperluan mempunyai pasukan untuk Piala Presiden dan Piala Belia.


“Setiap pasukan yang berjaya naik dari Liga A1 ke Liga Super akan diberi kelonggaran selama satu musim. Sebagai contoh, mereka tidak diwajibkan untuk memiliki pasukan Piala Presiden dan Piala Belia pada tahun pertama penyertaan di Liga Super. 

Ini bagi memberi ruang kepada pasukan tersebut untuk menyesuaikan diri serta mengekalkan kelangsungan (sustainability) mereka dalam ekosistem Liga Super,”

katanya.

Shazli bagaimanapun berkata sekiranya pasukan tersebut kekal dalam saingan Liga Super pada musim kedua, barulah pasukan tersebut wajib menubuhkan pasukan pembangunan Piala Presiden dan Piala Belia.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan pasukan yang dinaikkan ke Liga Super yang telah bersedia dengan pasukan pembangunan.

“Ini sejajar dengan usaha berterusan untuk mewujudkan kesinambungan pembangunan bakat dan mengekalkan sinergi antara Liga A1 dan Liga Super sebagai dua lapisan utama dalam struktur bola sepak negara.

Pihak MFL sentiasa berusaha mengekalkan hubungan baik dengan kelab-kelab Liga A1 dalam memastikan peralihan ke Liga Super berlaku secara tersusun dan berdaya saing.”

Dalam pada itu, Shazli juga berkata proses pasukan naik ke Liga Super akan melibatkan penilaian awal melalui ‘projection of club’ dengan fokus kepada kelompok enam hingga lapan pasukan terbaik di Liga A1 yang berpotensi.

“Setiap tahun, kita akan ada taklimat bersama pasukan A1 mengenai kriteria kelab MFL. Kita juga laksanakan ‘minimum club licensing’ di peringkat AFL bagi menyediakan mereka lebih awal. Contohnya, dua pasukan seperti Imigresen FC dan Melaka FC telah disahkan akan bermain di Liga Super musim depan.”

Sementara itu, saingan Liga Super dan Liga A1 pada musim 2025/26 akan menyaksikan dua pasukan tercorot akan tersingkir ke Liga A1, manakala dua pasukan teratas Liga A1 akan naik ke Liga Super.

Promosi ke Liga Super hanya berlaku jika pasukan A1 yang layak (sama ada dua teratas atau pengganti) memenuhi kriteria kelab lesen MFL.

“Perkara-perkara tersebut akan diputuskan di peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL.”