Piala Sumbangsih dijangka bermula 8/9 Ogos – Shazli Shaik

181

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd memberitahu perlawanan pembuka tirai musim bola sepak Malaysia, Piala Sumbangsih 2025 melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC. dijangka berlangsung pada 8 atau 9 Ogos di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.

Shazli bagaimanapun berkata jadual penuh saingan Liga Malaysia (Liga Super, Piala FA & Piala Malaysia) bagi musim 2025/26 masih belum dapat dikeluarkan berikutan belum menerima maklumat rasmi daripada ASEAN Football Federation (AFF) berhubung jadual penuh Shopee Cupmeskipun undian rasmi telah dijalankan.


“Setakat ini, kami masih menunggu pemakluman rasmi daripada pihak AFF mengenai penjadualan Shopee Cup, walaupun undian telah dijalankan semalam. Jadual ini penting kerana membabitkan penyertaan pasukan-pasukan utama seperti JDT dan Selangor,” 

katanya.

Tambah Shazli lagi, pihaknya juga telah menyemak dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan juga wakil pasukan yang terlibat dalam kejohanan antarabangsa, termasuk JDT yang turut beraksi dalam saingan AFC Champions League Elite (ACL Elite) dan Selangor dalam AFC Champions League Two (ACL2).

Pada masa sama beliau turut berkata MFL menjangkakan jadual ACL Elite dan ACL 2 hanya akan diumumkan selepas 15 Ogos. 

Oleh itu, bagi melancarkan persiapan pasukan dan logistik perjalanan liga, jadual Liga Malaysia akan tetap dikeluarkan lebih awal, sebelum diselaraskan semula mengikut keperluan selepas jadual peringkat Asia diumumkan.

“Tujuannya supaya semua kelab boleh buat persiapan awal. Selepas itu, jika perlu penyesuaian berdasarkan jadual AFC, kita akan sesuaikan semula.”

Langkah ini diambil bagi memastikan perancangan pasukan-pasukan tempatan, terutamanya yang beraksi dalam saingan Asia, dapat dibuat secara terancang dan profesional tanpa mengganggu struktur saingan domestik.