Liga Malaysia liga bola sepak pertama di Asia guna bola rasmi Puma
Malaysian Football League (MFL) sekali lagi melakar sejarah apabila kekal sebagai liga bola sepak pertama di Asia yang menggunakan bola perlawanan rasmi jenama global PUMA bagi musim 2025-2026.
Pelancaran Puma Orbita MFL 1 menandakan tahun keempat kerjasama strategik antara MFL dan Puma menerusi Active Sports.
Bermula sejak musim 2022 dengan penggunaan PUMA MFL Accelerate 21.1 Pro, Liga Malaysia terus memperkukuh jenamanya di peringkat antarabangsa melalui pemilihan bola berkualiti tinggi yang setanding dengan liga-liga ternama dunia seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), La Liga, Serie A, Liga Portugal dan CONMEBOL Libertadores.
Malah, bola Puma turut digunakan dalam kejohanan berprestij seperti Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dan Copa America.
Bola rasmi Orbita MFL 1 hadir dengan reka bentuk 12 panel, permukaan PU bertekstur 3D setebal 1.2mm untuk prestasi aerodinamik unggul, serta teknologi PUMA Air Lock (PAL) bagi mengekalkan lantunan dan tekanan udara yang stabil.
Ia juga mendapat pengiktirafan FIFA Quality Pro, menjadikannya sesuai untuk aksi berintensiti tinggi dalam semua pertandingan elit Liga Malaysia — Liga Super, Piala FA, MFL Challenge Cup dan Piala Malaysia.
Menurut Encik Murugeson Sithambaram, pemilik Active Sports Centre, pihaknya komited memastikan setiap pasukan memperoleh pengalaman permainan terbaik dengan bola edisi khas ini.
“Puma sentiasa utamakan kualiti. Kami yakin bola ini mampu membantu pemain mempersembahkan aksi terbaik sepanjang musim.”
Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh mutu teknikal permainan, tetapi juga meningkatkan nilai komersial dan kredibiliti Liga Malaysia di mata dunia.