Arsenal sahkan perpindahan Martin Zubimendi dari Real Sociedad bernilai £51 juta
Arsenal telah mengesahkan pembelian pemain tengah Sepanyol, Martin Zubimendi dari Real Sociedad dengan nilai perpindahan £51 juta.
Dipetik dari Skysports, Zubimendi menandatangani kontrak selama lima tahun dan akan menyarung jersi nombor 36 bersama The Gunners bagi musim 2025/26.
Perjanjian ini dimuktamadkan selepas Arsenal bersetuju mengaktifkan klausa pelepasan pemain berusia 26 tahun itu sejak Mac lalu, meskipun Real Madrid turut menunjukkan minat kuat susulan pelantikan Xabi Alonso sebagai pengurus baharu mereka.
Zubimendi yang memainkan peranan penting membantu Sepanyol menjuarai Euro 2024, sebelum ini menolak tawaran Liverpool dan memilih untuk kekal semusim lagi di Real Sociedad.
Sepanjang kariernya di kelab LaLiga itu, beliau telah membuat 236 penampilan dalam semua kejohanan.
Menurut laporan, pengurus Arsenal, Mikel Arteta memainkan peranan penting dalam menyakinkan Zubimendi untuk menyertai projek jangka panjang kelab.
Malah bekas rakan sepasukannya, Mikel Merino, yang menyertai Arsenal pada Ogos 2024 turut membantu dalam proses rundingan.
Zubimendi menjadi pembelian kedua Arsenal musim panas ini selepas ketibaan penjaga gol Sepanyol, Kepa Arrizabalaga dari Chelsea.
Kapten Brentford, Christian Norgaard juga dijangka menyertai tidak lama lagi.
Zubimendi berkata: “Ini adalah detik besar dalam karier saya. Arsenal mempunyai gaya permainan yang sesuai dengan saya dan saya percaya potensi pasukan ini belum mencapai kemuncaknya.”
Arteta pula menyifatkan kehadiran Zubimendi akan membawa kecerdasan taktikal dan kualiti tinggi dalam membentuk jentera tengah yang lebih mantap menjelang musim baharu.