Pemain muda Paraguay, Diego Leon sertai Manchester United
Impian remaja Paraguay, Diego Leon kini menjadi kenyataan apabila pemain berusia 17 tahun itu sah menyertai Manchester United selepas perpindahan yang dimuktamadkan sejak Januari lalu.
Dipetik dari BBC, Leon sebelum ini hanya dikenali sebagai pemain skuad B-17 Cerro Porteño, namun lonjakannya berlaku pada Ogos lalu apabila jurulatih Manolo Jimenez memberikan peluang beraksi dalam pasukan utama selepas dua pemain senior di posisi pertahanan kiri mengalami kecederaan.
Tanpa ragu, Leon tampil dan menjaringkan gol kemenangan menentang Sportivo Ameliano. Dia terus menyerlah dan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Bulan Ini, hasil dua gol dalam dua perlawanan.
“Ini impian setiap kanak-kanak. Saya jemput semua orang untuk bermimpi. Saya seorang pemimpi,” katanya.
Kepantasannya, keberanian dan kecenderungan menyerang menjadikan Leon sebagai pertahanan kiri yang unik.
Walaupun menerima tawaran daripada kelab seperti Arsenal dan Manchester City, Leon memilih United kerana yakin dengan visi jangka panjang yang ditawarkan.
Presiden Cerro, Juan Jose Zapag, menyifatkannya sebagai “pemain pertahanan kiri yang sukar dicari.”
Leon membesar dalam keluarga besar yang serba sederhana dan kini mahu membina rumah untuk ibu bapanya sebagai hadiah pertama.
“Dia budak kampung yang berpotensi besar. Masih muda, tapi masa depannya cerah,” ujar Diego Gavilan, bekas jurulatih Cerro yang pernah bermain di Liga Perdana Inggeris.
Leon kini bersedia mencipta sejarah sebagai pemain Paraguay seterusnya di Old Trafford.