Jadual padat buat Zul Ariffin terpaksa lupakan hasrat ‘fight’ di WWC

118

Pelakon popular, Zul Ariffin mendedahkan hasratnya untuk menyertai pertarungan dalam Warzone World Championship x Twins Championship hujung tahun ini tidak kesampaian dek komitmen kerjaya yang padat.

“Saya datang untuk beri sokongan kepada kawan saya yang anjurkan acara ini. Dia dah ajak saya beberapa bulan lalu untuk turut serta, tapi saya terpaksa tolak sebab jadual saya terlalu padat. 

Kalau nak bertarung, kita kena berlatih sekurang-kurangnya beberapa bulan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Biarpun tidak dapat turut serta pada kali ini, bintang filem “Sangkar” itu melahirkan rasa kagum dengan penganjuran acara tersebut, khususnya dari segi sokongan peminat dan impak positif kepada golongan muda.


“Energi sangat bagus. Penonton pun semangat. Saya rasa ini bagus untuk anak-anak muda dan petarung baru. Sekarang makin banyak acara macam ini, dan ia sangat sihat untuk masyarakat.”

Zul pada masa sama turut menyatakan harapan agar kejohanan seperti ini terus dianjurkan secara berkala sebagai platform pembangunan bakat.

“Saya harap acara seperti ini dianjurkan setiap tiga bulan. Supaya budak-budak muda ada ruang untuk cuba, berlatih dan jadi wakil negara satu hari nanti.” 

Sementara itu, Zul juga menyifatkan Warzone sebagai platform sukan yang mampu membawa perubahan besar dalam komuniti.