Selangor FC sedia hadapi cabaran ACL2 & Shopee Cup – Shahrul Nazeem

189

Pemain pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem meluahkan keyakinan terhadap persiapan pasukannya menjelang saingan AFC Champions League Two (ACL2) dan Shopee Cup yang akan membuka tirai tidak lama lagi. 

Menurut Sharul atau lebih dikenali dengan panggilan Afro berkata persiapan pasukan kini berada di landasan terbaik untuk mengharungi kedua-dua kejohanan peringkat Asia itu, selain turut bersedia untuk saingan domestik Liga Malaysia.


“Alhamdulillah so far semuanya bagus. Kita tahu yang kita ada pemain import baru dari Selangor. Mungkin ada yang baru lagi akan datang kita tak tahu. 

Jadi Alhamdulillah dengan persiapan yang kami lakukan sekarang ni kami bersedia untuk pertandingan yang akan berlangsung nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, dengan pengalaman daripada kempen di pentas Asia musim lalu dan kemasukan pemain-pemain import baharu yang akan memberi nilai tambah kepada kekuatan pasukan, skuad Gergasi Merah akan tampil lebih matang dan kompetitif musim ini.

Dalam pada itu, Sharul turut menyatakan rasa teruja dan berterima kasih kepada para penyokong yang hadir ke acara Selangor Football & Music, satu inisiatif yang menggabungkan elemen hiburan dan sukan bagi merapatkan hubungan antara pemain dan peminat.

“Alhamdulillah dengan kehadiran penyokong-penyokong Selangor semua ini, ia memeriahkan lagi majlis. Saya rasa sangat happy dan teruja, dan amat berbesar hati dapat hadir serta menyeru semua orang untuk terus menyokong kami.”

Tambahnya lagi, acara seperti ini disifatkan sebagai salah satu pendekatan terbaik untuk merapatkan jurang antara pemain dan penyokong.

“Saya rasa pentingnya acara macam ni ialah untuk merapatkan hubungan antara kelab dan penyokong. Bila ada event macam ni, kami lebih dekat dengan mereka, dan mereka pun boleh rasa lebih dekat dengan kami.”